SUSULAN serangan pengganas di Christchurch, New Zealand, laman web dan media sosial seperti Facebook dan Google hadapi kritikan atas kegagalan untuk menyekat video yang dirakam oleh pengganas itu sewaktu menyerang dua masjid berkenaan.

Ia mencetus perdebatan sama ada syarikat media sosial perlu menyekat kandungan yang berbahaya ataupun membenarkan pengguna kebebasan untuk bersuara.

"Saya percaya bahawa kerajaan dan penggubal undang-undang perlu memainkan peranan yang lebih aktif," tulis Mark Zuckerberg dalam satu artikel pendapat kepada akhbar Washington Post pada Sabtu.

Menurutnya, undang-undang perlu diperkuatkan dalam empat aspek: kandungan yang berbahaya, ketelusan dalam pilihan raya, privasi dan kemudahalihan data.

BACA: G20 perlu bincang kegagalan Facebook bendung video keganasan

"Syarikat dalam talian harus bertanggungjawab untuk menguatkuasakan peraturan bagi kandungan berbahaya," katanya.

Beliau turut menjelaskan bagaimana susahnya untuk buang kandungan berbahaya dari Internet, tambah-tambah lagi apabila orang ramai berkongsi kandungan menggunakan pelbagai jenis aplikasi yang mempunyai peraturan dan garis panduan yang berbeza.

Justeru, Mark menegaskan kepentingan untuk mewujudkan satu pendekatan yang lebih selaras.

"Dengan pembaharuan dalam undang-undang ke atas penggunaan Internet, kita boleh memelihara perkara yang terbaik mengenai Internet - kebebasan untuk orang meluahkan diri sendiri dan pengusaha untuk membina ciptaan baharu, dan pada masa yang sama melindungi masyarakat dari bahaya," tegasnya.

Selain isu kandungan berbahaya, baru-baru ini juga Facebook dilemparkan tuduhan oleh Jabatan Perumahan dan Pembangunan Bandar Amerika Syarikat (AS) mengenai perkhidmatan penyasaran iklan di laman sosial berkenaan.

Melalui perkhidmatan itu, tuan tanah dan majikan boleh menyasarkan iklan berdasarkan maklumat demografik seperti jantina, umur dan poskod yang boleh menjadi penunjuk kepada kaum dan bangsa individu.

Berdasarkan maklumat itu, pengiklanan bersasar boleh mewujudkan diskriminasi apabila sesetengah golongan tidak dapat melihat iklan tertentu.

Hal ini paling menonjol dalam industri perumahan yang mana beberapa iklan harta tanah dipamerkan kepada pengguna dari poskod tertentu, yang seringkali dikaitkan dengan kaum mereka.