APPLE akan terus memfokuskan kepada kemampuan kamera pada iPhone 16 nanti.

Anda ingat lagi butang multi-fungsi yang boleh mengesan tekanan dan sentuhan yang sepatutnya tiba pada iPhone 15 Pro dan iPhone 15 Pro Max?

Buat masa ini butang ini menjadi Action Button yang menggantikan gelungsur notifikasi. Tetapi pada iPhone 16 nanti, kesemua model dikatakan akan hadir dengan butang aksi yang mengesan sentuhan.

Bukan itu sahaja, laporan terbaru menyatakan yang iPhone 16 turut akan mempunyai butang khas untuk kamera.

Butang ini apabila ditatal ia boleh mengawal zoom dan kemudian apabila disentuh dengan lembut boleh fokus serta tekan dengan lebih kuat untuk aktifkan pengatup. Butang ini turut dikatakan adalah butang mekanikal.

Saiz peranti iPhone 16 turut dijangka menjadi lebih besar bagi memuatkan ciri dan fungsi baharu selain menyertakan kamera tetraprisma baharu.

iPhone tahun 2024 turut dikatakan tiada perubahan kosmetik kerana perubahan drastik hanya berlaku pada siri iPhone 17 nanti dengan Face ID bawah skrin. - Amanz