Skip to main content

Dunia

Iran bakal umum laluan pelayaran baharu di Selat Hormuz

FILE PHOTO: A drone view shows vessels near the Strait of Hormuz, as seen from Musandam, Oman, August 28, 2026. REUTERS/Stringer/File Photo
Iran hanya akan menjamin pembukaan semula laluan perkapalan di Selat Hormuz sekiranya AS menghentikan serangan. - Foto fail/REUTERS
Advertisement

TEHRAN: Iran dijangka mengumumkan laluan perkapalan baharu di Selat Hormuz dalam beberapa hari lagi sebagai sebahagian daripada perjanjian yang dicapai bersama Oman, kata pegawai keselamatan tertinggi negara itu, Mohsen Rezaei.

Menurut Rezaei, Tehran juga akan mengisytiharkan satu zon larangan berhampiran selat berkenaan dan memberi amaran bahawa mana-mana kapal yang memasuki kawasan tersebut tanpa kebenaran boleh dikenakan sekatan oleh Iran.

Beliau berkata pelan laluan baharu itu telah dipersetujui antara Iran dan Oman dan dijangka dimuktamadkan dalam masa terdekat bagi mengurus pergerakan kapal melalui salah satu laluan perdagangan tenaga paling penting di dunia.

Rezaei menjelaskan bahawa laluan sementara itu akan melalui perairan Iran dan Oman, manakala proses keluar masuk kapal akan diselaraskan bersama oleh kedua-dua negara.

Pengumuman itu dibuat ketika ketegangan antara Iran dan Amerika Syarikat (AS) terus memuncak susulan siri serangan balas di rantau Teluk, termasuk serangan AS terhadap kapal tangki minyak Iran dan tindakan Tehran menyasarkan aset yang dikaitkan dengan Washington di sekitar Selat Hormuz.

Rezaei turut menegaskan bahawa Iran hanya akan menjamin pembukaan semula laluan perkapalan di Selat Hormuz sekiranya AS menghentikan serangan dan tindakan yang disifatkan Tehran sebagai ancaman terhadap keselamatan negara itu.

Selat Hormuz merupakan laluan strategik yang sebelum konflik tercetus mengendalikan hampir satu perlima penghantaran minyak dan gas asli cecair (LNG) dunia.

Gangguan terhadap pergerakan kapal di kawasan itu telah meningkatkan kebimbangan mengenai bekalan tenaga global dan menyumbang kepada ketidaktentuan harga minyak antarabangsa.

Pada Ogos lalu, Iran dan Oman dilaporkan mencapai persetujuan mengenai koridor perkapalan sementara di Selat Hormuz bagi memulihkan sebahagian trafik maritim yang terjejas akibat konflik serantau.

Pemerhati melihat langkah terbaharu Tehran itu sebagai usaha mengawal semula pergerakan perkapalan di kawasan berkenaan sambil mengekalkan tekanan strategik terhadap pihak lawan dalam konflik yang masih berlarutan.

 

Must Watch Video

Advertisement