Iran beri amaran akan bertindak balas jika Amerika lancar serangan ketika protes terus memuncak

Iran memberi amaran akan melakukan tindakan balas sekiranya Amerika Syarikat melancarkan serangan, ketika demonstrasi besar-besaran terus mencabar tindakan keras pihak berkuasa. - Gambar AP
TEHRAN: Iran memberi amaran akan melakukan tindakan balas sekiranya Amerika Syarikat (AS) melancarkan serangan, ketika demonstrasi besar-besaran terus mencabar tindakan keras pihak berkuasa.
Menurut laporan BBC, ratusan penunjuk perasaan dilaporkan terbunuh, manakala ratusan lagi cedera dalam tempoh dua minggu protes yang bermula akibat inflasi melambung tinggi di Tehran.
Tuntutan kini beralih kepada gesaan menamatkan pemerintahan ulama yang diketuai Pemimpin Tertinggi, Ayatollah Ali Khamenei.
Agensi berita hak asasi berpangkalan di AS, Human Rights Activist News Agency (HRANA) mengesahkan, sekurang-kurangnya 490 penunjuk perasaan dan 48 anggota keselamatan terkorban, selain lebih 10,600 individu ditahan.
Ketua Polis Iran dalam siaran televisyen negara mengakui, tindakan kerajaan semakin diperketat, sementara petugas kesihatan memaklumkan lebih 100 mayat dibawa ke hospital dalam tempoh dua hari.
BBC Persian turut mengesahkan 70 mayat dihantar ke sebuah hospital di Rasht pada Jumaat malam.
Rakaman video yang disahkan menunjukkan pertempuran antara penunjuk perasaan dan pasukan keselamatan di Mashhad dan Tehran, termasuk insiden tembakan ke arah orang awam. Ada laporan menyatakan mangsa ditembak di kepala dan dada.
Amaran keras Iran kepada AS
AS sebelum ini mengugut untuk menyerang Iran susulan kematian penunjuk perasaan.
Presiden Donald Trump berkata, Washington “bersedia membantu” kerana Iran “sedang mencari kebebasan”, namun tidak memperincikan bentuk tindakan.
Media AS melaporkan antara opsyen termasuk serangan ketenteraan, sekatan tambahan, serangan siber, dan sokongan kepada sumber anti-kerajaan.
Sebagai reaksi, Speaker Parlimen Iran menegaskan, sekiranya AS menyerang, Israel serta pangkalan tentera dan pusat perkapalan AS di rantau itu akan menjadi sasaran.
Protes terbesar sejak 2022
Protes kali ini disifatkan paling besar sejak kebangkitan “Wanita, Hidup, Kebebasan” pada 2022 susulan kematian Mahsa Amini ketika dalam tahanan polis moral.
Ketika itu, lebih 550 orang terbunuh dan 20,000 ditahan.
Peguam Negara Iran memberi amaran bahawa sesiapa yang menyertai protes akan dianggap sebagai “musuh Tuhan” – satu kesalahan yang membawa hukuman mati.
Ayatollah Khamenei pula menyifatkan, penunjuk perasaan sebagai “perusuh” yang mahu “memuaskan hati Trump”.
Sementara itu, Reza Pahlavi, anak kepada Shah Iran yang hidup dalam buangan di AS, menyatakan sokongan kepada penunjuk perasaan dan berjanji akan “bersama mereka tidak lama lagi.”
Amnesty International pula sedang meneliti laporan bahawa pasukan keselamatan meningkatkan penggunaan kekerasan terhadap penunjuk perasaan sejak Khamis lalu. - Agensi
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


