Skip to main content

Malaysia

Graduan tahfiz dijamin 100 peratus kebolehpasaran - TPM Zahid

Ahmad Zahid , GenHufaz , tahfiz
Ahmad Zahid berucap pada Perhimpunan Gen Huffaz Teknokrat MARA 2026 dan Majlis Santunan Kasih Ramadan di Masjid Wilayah Persekutuan pada Ahad. - Gambar Astro AWANI

KUALA LUMPUR: Kerajaan memberi jaminan kebolehpasaran 100 peratus kepada graduan tahfiz profesional dan teknokrat menerusi kerjasama strategik dengan syarikat multinasional (MNC) serta keperluan tinggi industri kejuruteraan negara.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, keyakinan itu bersandarkan kepada permintaan semasa industri yang memerlukan kira-kira 60,000 jurutera setahun, namun negara hanya mampu menawarkan sekitar 6,000 graduan dalam tempoh sama.

Advertisement

Menurut beliau, jurang besar itu membuka ruang luas kepada lepasan tahfiz yang bukan sahaja menghafaz 30 juzuk al-Quran, malah mengikuti pengajian profesional dalam bidang berimpak tinggi seperti kejuruteraan, kecerdasan buatan (AI), Internet of Things (IoT), robotik dan kenderaan elektrik (EV).

“Tidak perlu beri jaminan khusus kerana kebolehpasaran mereka memang 100 peratus. Permintaan industri terlalu tinggi dan kita bekerjasama rapat dengan syarikat-syarikat MNC,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas ditemui media di Perhimpunan Gen Huffaz Teknokrat MARA 2026 dan Majlis Santunan Kasih Ramadan di Masjid Wilayah Persekutuan pada Ahad.

Program melahirkan hufaz profesional menghimpunkan 10,000 pelajar tahfiz dilaksanakan menerusi institusi pendidikan di bawah MARA serta universiti teknikal termasuk Universiti Kuala Lumpur (UniKL) dan rangkaian Malaysian Technical University Network (MTUN).

Dalam pada itu katanya, pendekatan menggabungkan pendidikan tahfiz dengan bidang teknikal bukan sahaja memperkasa modal insan berteraskan nilai agama, malah memenuhi keperluan strategik negara dalam sektor teknologi tinggi.

Kerajaan sebelum ini menyasarkan untuk melahirkan 125,000 hufaz profesional dan teknokrat menjelang 2050, dengan peluasan program ke seluruh negara melalui tujuh universiti Malaysian Technical University Network (MTUN).

Jelas Ahmad Zahid, dengan pemantauan berterusan dan sokongan industri, sasaran itu diyakini mampu dicapai lebih awal, sekali gus memperkukuh daya saing graduan tahfiz di peringkat nasional dan global.

Must Watch Video