TEHRAN: Iran memberi amaran akan mengambil tindakan lebih tegas sekiranya Amerika Syarikat (AS) meneruskan serangan terhadap negara itu, ketika konflik yang kembali memuncak sejak minggu lalu menunjukkan tiada tanda akan reda.
Speaker Parlimen Iran, Mohammad Bagher Ghalibaf, berkata Tehran tidak lagi akan bertindak balas secara terhad terhadap sebarang tindakan ketenteraan yang menyasarkan kepentingan dan keselamatan negara itu.
Menurut beliau, sebarang serangan baharu oleh AS akan menerima balasan yang lebih pantas dan lebih kuat daripada Iran.
Kenyataan itu dibuat sehari selepas Washington mengumumkan serangan ke atas tiga kapal tangki minyak Iran sebagai tindak balas terhadap dakwaan serangan Iran ke atas kapal perang AS di perairan rantau Teluk.
Dalam perkembangan berasingan, media kerajaan Iran melaporkan bahawa tentera laut negara itu telah menyerang sebuah kapal tanpa pemandu milik AS yang didakwa cuba memasuki kawasan perairan di Selat Hormuz.
Namun, dakwaan tersebut dinafikan oleh Komando Pusat AS (CENTCOM).
Jurucakap CENTCOM, Kapten Tim Hawkins, menyifatkan laporan itu sebagai tidak benar dan menegaskan tiada insiden sedemikian berlaku.
Sementara itu, Setiausaha Pertahanan AS, Pete Hegseth, turut memberi amaran bahawa Washington tidak akan teragak-agak mengambil tindakan terhadap aset minyak Iran sekiranya kapal AS terus menjadi sasaran.
Pertempuran antara kedua-dua negara kembali tercetus selepas tempoh gencatan senjata selama 60 hari berakhir bulan lalu.
Sejak itu, kedua-dua pihak saling melancarkan serangan ke atas sasaran masing-masing di rantau Asia Barat.
Konflik turut tertumpu di Selat Hormuz, laluan perkapalan strategik yang menjadi nadi kepada perdagangan minyak dan gas dunia.
Iran bertegas untuk mengekalkan pengaruhnya di laluan tersebut, manakala AS pula mendakwa perairan itu kekal boleh dilalui dengan bantuan aset tenteranya.
Dalam perkembangan terkini, CENTCOM memaklumkan pihaknya telah mengalihkan puluhan kapal dagang serta mengambil beberapa tindakan penguatkuasaan di perairan berkenaan sebagai sebahagian daripada sekatan maritim terhadap Iran.
Konflik yang berlarutan itu terus memberi kesan kepada pasaran tenaga global, dengan ketidaktentuan di Selat Hormuz menyumbang kepada tekanan terhadap harga minyak dan bahan api di beberapa negara.