Skip to main content

Dunia

Trump berdepan tentangan Republikan sendiri dalam usaha mempercepat pelantikan hakim

Usaha Presiden Trump untuk mempercepat pelantikan hakim persekutuan sebelum Parti Demokrat mengambil alih kawalan Senat berdepan tentangan daripada beberapa anggota Parti Republikan sendiri. - Gambar Reuters
Usaha Presiden Trump untuk mempercepat pelantikan hakim persekutuan sebelum Parti Demokrat mengambil alih kawalan Senat berdepan tentangan daripada beberapa anggota Parti Republikan sendiri. - Gambar Reuters
Advertisement

WASHINGTON: Usaha Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump untuk mempercepat pelantikan hakim persekutuan sebelum Parti Demokrat mengambil alih kawalan Senat berdepan tentangan daripada beberapa anggota Parti Republikan sendiri.

Sejak memulakan penggal keduanya, Republikan di Senat secara konsisten meluluskan calon kehakiman yang dicalonkan Trump, dengan 57 hakim berjaya disahkan setakat ini. 

Langkah itu membantu mengukuhkan pengaruh konservatif dalam badan kehakiman AS yang dijangka berterusan lama selepas Trump meninggalkan White House.

Advertisement

Bagaimanapun, usaha White House dan kepimpinan Republikan di Senat untuk mempercepatkan kelulusan pencalonan kehakiman dalam sesi akhir sebelum perubahan kuasa kini berdepan halangan apabila beberapa senator Republikan enggan menyokong calon yang dicadangkan bagi negeri masing-masing.

Mengikut amalan tradisi Senat, senator negeri mempunyai pengaruh besar dalam proses pemilihan hakim persekutuan. 

Advertisement

Bagi jawatan hakim mahkamah daerah, pencalonan boleh terhalang sekiranya senator terbabit enggan menyerahkan dokumen sokongan yang dikenali sebagai "blue slip".

Walaupun kebiasaannya menghormati amalan itu, White House beberapa kali memilih calon konservatif untuk mengisi kekosongan kehakiman walaupun berdepan bantahan daripada senator Republikan negeri terlibat.

Senator Republikan Oklahoma, Alan Armstrong berkata, White House mengabaikan calon yang dicadangkan pemimpin negeri dan sebaliknya memilih calon pilihan sendiri.

Ketegangan itu mendorong White House mengambil langkah luar biasa dengan menarik balik pencalonan Hakim Daerah AS, Lee Rudofsky, ke Mahkamah Rayuan Litar Kelapan selepas mendapat bantahan daripada Senator Arkansas, John Boozman dan Tom Cotton. 

Beliau kemudian digantikan dengan Hakim Mahkamah Agung Arkansas, J. Cody Hiland.

Selain itu, dua anggota Republikan dalam Jawatankuasa Kehakiman Senat yang bakal menamatkan perkhidmatan mereka, Thom Tillis dari North Carolina dan John Cornyn dari Texas, turut memberi isyarat tidak akan menyokong beberapa calon yang sedang menunggu kelulusan jawatankuasa berkenaan.

Menurut Tillis, White House tidak seharusnya mengetepikan pandangan senator negeri dalam proses pemilihan hakim.

"Itu bukan cara sistem ini berfungsi," katanya kepada wartawan.

Bagi White House, beberapa minggu akan datang merupakan peluang terakhir untuk meneruskan agenda yang dimulakan sejak pentadbiran pertama Trump bagi mengukuhkan pengaruh konservatif dalam badan kehakiman persekutuan.

Seorang pegawai White House berkata, semua calon hakim yang masih menunggu pengesahan Senat dijangka diluluskan sebelum akhir tahun ini.

Sepanjang penggal pertamanya antara 2017 hingga 2021, Trump melantik 234 hakim persekutuan termasuk tiga hakim Mahkamah Agung AS yang membentuk majoriti konservatif 6-3 ketika ini. 

Kira-kira satu pertiga daripada hakim aktif persekutuan kini merupakan lantikan beliau.

Ketua Majoriti Senat, John Thune berkata, pengesahan calon hakim kekal menjadi keutamaan utama Republikan selagi parti itu masih menguasai dewan berkenaan.

Senat pada Khamis meluluskan pencalonan hakim pertama dalam sesi akhir itu, manakala 23 lagi pencalonan masih menunggu keputusan termasuk Hakim Daerah AS dari Colorado, Daniel Domenico, yang dijadualkan menjalani proses pengundian bagi jawatan di Mahkamah Rayuan Litar Ke-10.

Profesor undang-undang Universiti George Mason, Rob Luther berkata, beberapa senator yang berada di penghujung tempoh perkhidmatan mereka kini menjadi halangan kepada usaha kelompok konservatif untuk menempatkan lebih ramai hakim sehaluan di badan kehakiman.

Dalam perkembangan berasingan, Cornyn masih belum memberikan komitmen untuk menyokong T. Elliot Gaiser, calon pilihan Trump bagi jawatan hakim persekutuan di Dallas. Gaiser dipilih tanpa melalui proses saringan tradisional yang lazimnya dikendalikan senator Texas.

Ketika ini, Gaiser mengetuai Pejabat Penasihat Undang-Undang Jabatan Kehakiman AS yang pernah mengeluarkan beberapa pandangan menyokong aspek paling kontroversi dalam agenda Trump. Tanpa "blue slip" daripada Cornyn, beliau tidak boleh menghadiri sesi pendengaran Jawatankuasa Kehakiman Senat.

Pada masa sama, Tillis turut menyokong bantahan Armstrong terhadap pencalonan Zach West, seorang peguam di pejabat peguam negara Oklahoma yang mendapat sokongan kumpulan konservatif kerana mempertahankan sekatan pengguguran kandungan dan menyokong penyertaan sekolah agama dalam program sekolah piagam negeri itu.

Walaupun pada awalnya memberikan sokongan melalui "blue slip", Armstrong kemudian menarik balik pendiriannya. Sokongan Tillis menyebabkan West tidak mempunyai undi mencukupi untuk melepasi peringkat jawatankuasa.

Keadaan menjadi lebih rumit apabila Armstrong dijadual meninggalkan Senat pada 30 November dan akan digantikan oleh senator terpilih, Kevin Hern, yang mungkin mengambil pendirian berbeza terhadap pencalonan West.

Menurut Tillis, beliau akan terus menghalang pencalonan itu buat masa ini.

"Jika dua senator Republikan dari negeri itu meminta saya meneruskannya, saya akan berbuat demikian. Jika seorang atau lebih meminta saya supaya tidak meneruskannya, saya tidak akan berbuat demikian," katanya. - Agensi

Must Watch Video

Advertisement