Skip to main content

Dunia

Iran dakwa NATO terlibat dalam serangan AS ketika konflik 100 hari

Sumber: Ministry of Foreign Affairs of the Islamic Republic of Iran
Baghaei berkata negara-negara terbabit perlu menjelaskan kepada rakyat masing-masing mengapa mereka memilih untuk menyokong tindakan yang menurutnya mengorbankan rakyat Iran. - Gambar fail
Advertisement

KUALA LUMPUR: Iran mendakwa Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) terlibat secara langsung dalam tindakan ketenteraan terhadap negara itu susulan serangan Amerika Syarikat (AS) dan Israel sepanjang konflik 100 hari yang lalu.

Jurucakap Kementerian Luar Iran, Esmail Baghaei berkata, dakwaan itu dibuat selepas Setiausaha Agung NATO, Mark Rutte, mendedahkan beberapa negara Eropah memberikan sokongan kepada operasi ketenteraan AS terhadap Tehran.

Menurut Baghaei, kenyataan tersebut merupakan pengakuan terbuka mengenai penglibatan sekutu NATO dalam apa yang disifatkannya sebagai pencerobohan terhadap sebuah negara berdaulat.

“Ini adalah pengakuan jelas mengenai penglibatan aktif NATO dalam perang pencerobohan yang menyalahi undang-undang terhadap sebuah negara anggota Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

“Ia juga merupakan pelanggaran nyata terhadap prinsip asas undang-undang antarabangsa dan Piagam PBB,” katanya menerusi hantaran di platform X pada Khamis.

Beliau turut menamakan Itali dan Romania sebagai antara negara yang didakwa membantu operasi ketenteraan AS terhadap Iran.

Baghaei berkata negara-negara terbabit perlu menjelaskan kepada rakyat masing-masing mengapa mereka memilih untuk menyokong tindakan yang menurutnya mengorbankan rakyat Iran.

Kenyataan itu dibuat susulan temu bual Rutte bersama Fox News, yang menyatakan beberapa negara sekutu menyediakan pangkalan dan kemudahan bagi menyokong operasi AS dikenali sebagai “Operation Epic Fury”.

Rutte turut mendakwa kira-kira 500 pesawat tentera AS berlepas dari pangkalan di Itali bagi menyokong kempen ketenteraan berkenaan.

Bagaimanapun, Itali menafikan penglibatan langsung dalam operasi serangan tersebut.

Menteri Pertahanan Itali, Guido Crosetto menegaskan negaranya hanya membenarkan penggunaan kemudahan bagi tujuan teknikal dan logistik, tanpa terbabit dalam sebarang operasi ketenteraan secara langsung.

Menurutnya, semua kebenaran yang diberikan adalah selaras dengan perlembagaan Itali, perjanjian antarabangsa serta peraturan yang mengawal operasi pangkalan tentera sekutu di negara itu.

Must Watch Video

Advertisement