ISTANBUL: Iran pada Jumaat memaklumkan bahawa sebuah kapal tangki minyak meletup selepas terlanggar ranjau laut di Selat Hormuz, manakala sebuah lagi kapal tangki terpaksa berpatah balik, lapor Anadolu Ajansi (AA) yang memetik agensi berita Fars Iran.
Dalam satu kenyataan yang disiarkan oleh agensi berita itu, Tentera Laut Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) berkata dua kapal tangki minyak cuba “menyusup masuk melalui laluan yang tidak dibenarkan di utara Pulau Ghavam pada pagi Jumaat.”
Sebuah daripada kapal tangki itu meletup selepas terlanggar ranjau laut, manakala sebuah lagi terpaksa berpatah balik, menurut kenyataan itu.
Tentera Laut IRGC tidak mendedahkan identiti kapal tangki berkenaan atau memberikan butiran mengenai kru, kemungkinan berlaku kemalangan jiwa atau tahap kerosakan.
Amerika Syarikat (AS) dan Israel melancarkan perang terhadap Iran pada 28 Feb lepas, mendorong Tehran bertindak balas dengan melancarkan serangan terhadap kemudahan ketenteraan Israel dan AS di negara-negara Arab.
Tehran dan Washington menandatangani memorandum persefahaman pada Jun, namun pelaksanaannya tergendala susulan percanggahan pendapat mengenai kebebasan pelayaran melalui selat itu.
Tehran berulang kali mengaitkan pembukaan semula laluan air itu dengan tuntutannya agar tindakan permusuhan AS dan Israel dihentikan, jaminan keselamatan daripada serangan baharu diberikan serta sekatan AS dan sekatan terhadap pelabuhan Iran ditarik balik.
-- BERNAMA-ANADOLU