Skip to main content

Politik

Lima tahun akan datang tempoh penting pembangunan Sarawak - Dr Sim

Dr Sim menyeru seluruh ahli dan jentera SUPP supaya memperkukuh perpaduan serta menggembleng tenaga bagi menghadapi PRN Sarawak ke-13 demi memastikan kesinambungan agenda pembangunan negeri. - Gambar fail
Dr Sim menyeru seluruh ahli dan jentera SUPP supaya memperkukuh perpaduan serta menggembleng tenaga bagi menghadapi PRN Sarawak ke-13 demi memastikan kesinambungan agenda pembangunan negeri. - Gambar fail

Ringkasan AI

  • Lima tahun akan datang dianggap tempoh penting bagi Sarawak mencapai sasaran pembangunan negeri menjelang 2030, menurut Timbalan Premier Datuk Amar Dr Sim Kui Hian.
  • Dr Sim menyeru ahli SUPP memperkukuh perpaduan dan tenaga menghadapi PRN Sarawak ke-13 demi kesinambungan agenda pembangunan negeri.
  • SUPP memperkenalkan enam calon utama bagi PRN Sarawak ke-13, dengan hari penamaan calon ditetapkan pada esok oleh Suruhanjaya Pilihan Raya.
Advertisement

KUCHING: Lima tahun akan datang merupakan tempoh penting bagi Sarawak untuk mencapai tahap pembangunan yang lebih matang, sekali gus merealisasikan sasaran pembangunan negeri menjelang 2030, kata Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Dr Sim Kui Hian.

Beliau yang juga Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) berkata Sarawak telah melalui transformasi ketara sepanjang sedekad lepas, daripada sebuah negeri yang pernah dipandang rendah kepada negeri yang kini mendapat perhatian di peringkat nasional.

“Pencapaian pembangunan Sarawak sepanjang 10 tahun lepas membuktikan kepentingan kestabilan politik dan perancangan pembangunan jangka panjang,” katanya ketika berucap pada Perhimpunan Mobilisasi SUPP Zon Selatan di ibu pejabat parti itu di sini malam tadi.

Advertisement

Sehubungan dengan itu, Dr Sim menyeru seluruh ahli dan jentera SUPP supaya memperkukuh perpaduan serta menggembleng tenaga bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13 demi memastikan kesinambungan agenda pembangunan negeri.

Beliau turut menekankan kepentingan penyertaan masyarakat Cina dalam politik arus perdana Sarawak bagi memastikan kepentingan komuniti berkenaan terus diwakili dalam proses penggubalan dasar kerajaan negeri.

Advertisement

Menurutnya, sokongan masyarakat Cina juga penting bagi memperkukuh suara dan peranan SUPP dalam Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Pada majlis itu, SUPP turut memperkenalkan enam calon parti berkenaan bagi PRN Sarawak ke-13, termasuk Dr Sim yang akan mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Kawah.

Lima calon lain ialah Nicholas Wung Duk Ying (Padungan), Datuk Wee Hong Seng (Pending), See Chee How (Batu Lintang), Wilfred Yap Yau Sin (Kota Sentosa) dan Datuk Lo Khere Chiang (Batu Kitang).

SUPP sebelum ini mengumumkan senarai 18 calon yang akan mewakili parti itu pada PRN Sarawak ke-13, dengan kesemua nama yang dikemukakan kepada GPS telah diterima untuk bertanding di kerusi masing-masing.

Senarai itu turut menampilkan beberapa muka baharu bagi kerusi DUN Padungan, Simanggang dan Bawang Assan, selain dua penyandang kerusi DUN, iaitu See Chee How (Batu Lintang) dan Dr Johnical Rayong Ngipa (Engkilili), yang akan bertanding atas tiket SUPP.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan esok sebagai hari penamaan calon, 8 Dis sebagai hari pengundian awal dan 12 Dis ini sebagai hari pengundian.

Dapatkan berita terkini PRN Sarawak ke-13 menerusi https://election.bernama.com/prn/sarawak/2026/.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement