Ringkasan AI
- Pemilik spa kecantikan didenda RM200,000 selepas didapati bersalah menjalankan rawatan venir gigi tanpa kelayakan dan mengendalikan klinik pergigian tidak berdaftar.
- Mahkamah menjatuhkan denda RM100,000 bagi setiap pertuduhan atau penjara 12 bulan jika gagal membayar denda, atas kesalahan dua tahun lalu di Damansara Perdana.
- Siasatan mendapati tertuduh bukan pengamal pergigian berdaftar dan premis tidak berdaftar dengan Majlis Pergigian Malaysia serta Kementerian Kesihatan.
PETALING JAYA: Seorang pemilik spa kecantikan didenda RM200,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas didapati bersalah atas dua pertuduhan menjalankan rawatan venir (veneer) gigi tanpa kelayakan dan mengendalikan klinik pergigian swasta yang tidak berdaftar, dua tahun lepas.
Hakim Noor Ruzilawati Mohd Nor menjatuhkan hukuman itu terhadap Muhammad Tashriq Abdul Aziz, 26, selaku Orang Kena Saman (OKS), selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah pada akhir kes pembelaan.
Mahkamah menjatuhkan hukuman denda RM100,000 bagi setiap pertuduhan atau penjara 12 bulan bagi setiap pertuduhan sekiranya gagal membayar denda berkenaan.
Muhammad Tashriq didakwa menjalankan amalan pergigian tanpa berdaftar di bawah Akta Pergigian 2018 di sebuah premis di Jalan PJU 8/1, Damansara Perdana, di sini pada 12.05 tengah hari, 3 April 2024.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 62(1) Akta Pergigian 2018 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 62(3) akta sama, yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM300,000 atau penjara sehingga enam tahun atau kedua-duanya.
Dia turut didakwa mengendalikan klinik pergigian swasta yang tidak didaftarkan di bawah Seksyen 27 Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998 di tempat, pada masa dan tarikh yang sama.
Pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 4(1) akta berkenaan dan boleh dihukum di bawah subperenggan 5(1)(a) akta sama, yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM300,000 atau penjara sehingga enam tahun atau kedua-duanya.
Mengikut fakta kes, Jabatan Kesihatan Negeri Selangor menyerbu premis berkenaan pada 3 April 2024 selepas menerima maklumat bahawa klinik pergigian swasta itu tidak berdaftar.
Ketika serbuan dilakukan, Muhammad Tashriq sedang menjalankan rawatan venir gigi terhadap seorang pelanggan, manakala hasil siasatan mendapati dia gagal mengemukakan bukti bahawa premis berkenaan merupakan klinik pergigian swasta yang berdaftar.
Semakan dengan Majlis Pergigian Malaysia (MPM) turut mendapati Muhammad Tashriq bukan pengamal pergigian yang berdaftar dengan badan itu.
Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Kementerian Kesihatan (KKM) Dr Ahmad Fadhil Mohamad Shahidi, Dr Faryna Md Yaakob dan Dr Khadijah Wahab, manakala Muhammad Tashriq diwakili peguam Mohammad Badrulameen Saruan.
-- BERNAMA