Ringkasan AI
- Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek menegaskan Bantuan Awal Persekolahan (BAP) dan Bantuan Kasih Johor (BKJ) mempunyai konteks serta rasional pelaksanaan berbeza.
- Fadhlina menekankan pelaksanaan BAP memberi peluang ibu bapa dan guru bertemu secara langsung, berbeza dengan pengagihan BKJ yang melibatkan ahli politik.
- Beliau turut menyorot penurunan perbincangan antara murid dan ibu bapa serta keperluan penglibatan aktif ibu bapa dalam menangani cabaran pendidikan.
JOHOR BAHRU: Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek meminta Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi supaya tidak menyamakan pemberian Bantuan Awal Persekolahan (BAP) dengan pengagihan Bantuan Kasih Johor (BKJ) berikutan konteks dan rasional pelaksanaannya yang berbeza.
Beliau berkata pelaksanaan BAP mengikut takwim persekolahan memberikan peluang ibu bapa dan guru yang mendidik anak-anak mereka bertemu secara langsung, bukan bersama Perdana Menteri, menteri atau mana-mana ahli politik.
"Di samping memastikan urusan penerimaan bantuan dipermudah, kita mahu ibu bapa pulang dari sekolah bukan hanya dengan RM200 di tangan, tetapi juga dengan kefahaman yang lebih baik tentang perkembangan anak-anak mereka," katanya menerusi hantaran di Threads.
Beliau menjelaskan dapatan Program Penilaian Pelajar Antarabangsa (PISA) 2025 turut menunjukkan hanya 34 peratus murid di Malaysia berbincang dengan ibu bapa atau penjaga tentang masalah yang dihadapi di sekolah, sekurang-kurangnya sekali seminggu berbanding 46 peratus pada 2022.
"Penurunan ini perlu diberikan perhatian serius," katanya.
Fadhlina berkata negara kini berhadapan pelbagai cabaran pendidikan termasuk isu disiplin dan kesihatan mental murid yang tidak boleh diserahkan kepada guru semata-mata, sebaliknya memerlukan penglibatan aktif ibu bapa.
Ahli Parlimen Nibong Tebal itu berkata BKJ yang merupakan pemberian bantuan kepada rakyat tidak dipertikai, tetapi kewajaran meneruskan pengagihannya secara bersemuka, dengan melibatkan ahli politik ketika Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor telah dibubarkan dan negeri menuju Pilihan Raya Negeri (PRN) sebelum ini.
Beliau berkata keluhan warga emas yang terpaksa beratur panjang serta menunggu berjam-jam untuk menerima bantuan, tidak seharusnya dilupakan kerana bantuan kerajaan sepatutnya meringankan beban rakyat dan bukannya menambah kesulitan mereka.
Sehubungan dengan itu, beliau menyifatkan perbezaan konteks dan rasional pelaksanaan kedua-dua bantuan berkenaan adalah jelas dan Onn Hafiz tidak perlu menjadikan BAP sebagai justifikasi terhadap kaedah pengagihan BKJ, yang disifatkan telah menimbulkan kesulitan kepada rakyat.
Dalam penggulungan Belanjawan Johor 2027 pada persidangan DUN semalam, Onn Hafiz dilapor berkata kaedah penyerahan BKJ secara bersemuka yang sebelum ini dikritik, kini turut dilaksanakan menerusi BAP.
Beliau turut mempersoalkan sikap segelintir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Johor pengimbang, yang sebelum ini pernah bersama-sama menyampaikan bantuan berkenaan secara bersemuka kepada rakyat, namun mengubah pendirian selepas DUN dibubarkan.
-- BERNAMA