ISTANBUL: Presiden Iran Masoud Pezeshkian melantik bekas komander Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) Mohsen Rezaee sebagai setiausaha badan keselamatan tertinggi negara itu, lapor Anadolu Ajansi.
Timbalan Ketua Komunikasi dan Maklumat Pejabat Presiden, Seyed Mehdi Tabatabaei mengumumkan pelantikan itu menerusi platform media sosial X pada Ahad.
“Berikutan peletakan jawatan Mohammad Baqer Zolghadr sebagai Setiausaha Majlis Keselamatan Negara Tertinggi dan penerimaannya terhadap tanggungjawab baharu, Mohsen Rezaee dilantik sebagai Setiausaha Majlis Keselamatan Negara Tertinggi menerusi dekri Presiden Iran Masoud Pezeshkian,” katanya.
Keputusan itu dibuat tidak lama selepas Pemimpin Tertinggi Iran Mojtaba Khamenei melantik Rezaee sebagai wakilnya ke majlis berkenaan dengan mengambil kira pengalaman serta peranannya ketika Perang Iran-Iraq 1980 hingga 1988.
Rezaee mengetuai IRGC dari 1981 hingga 1997.
Beliau dilantik sebagai penasihat ketenteraan kepada Pemimpin Tertinggi Iran pada Mac.
Secara berasingan, Khamenei melantik Zolghadr sebagai penasihat politiknya.
“Dengan mengambil kira pengalaman berharga anda, saya dengan ini melantik anda sebagai Penasihat Politik saya,” kata Khamenei menerusi X.
Perubahan itu berlaku ketika Iran terlibat dalam konflik ketenteraan dengan Amerika Syarikat (AS) susulan serangan bersama AS-Israel terhadap Tehran pada Februari.
Iran dan AS bersetuju melaksanakan gencatan senjata pada April sebelum menandatangani memorandum persefahaman pada Jun bagi menamatkan konflik ketenteraan dan mencapai perjanjian damai berkekalan.
Bagaimanapun, perjanjian itu gagal bertahan bulan lepas apabila kedua-dua pihak saling melancarkan serangan selama hampir dua minggu sebelum Presiden AS Donald Trump secara tiba-tiba menghentikan pengeboman.
-- BERNAMA-ANADOLU