DUNIA
Iran mampu bina semula kemudahan nuklear - Grossi

Rafael Grossi menjelaskan sebahagian daripada infrastruktur nuklear Iran masih terselamat daripada serangan itu. - Gambar fail
VIENNA: Ketua Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) Rafael Grossi berkata Iran mempunyai keupayaan untuk membina semula kemudahan nuklearnya, di tengah-tengah laporan bercanggah mengenai tahap kerosakan akibat serangan oleh tentera Amerika Syarikat (AS) hujung minggu lalu, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
"Pengetahuan teknikal dan kapasiti industri memang wujud dan tiada siapa boleh menafikannya," katanya di luar mesyuarat krisis bersama kerajaan Austria di Vienna.
Beliau menjelaskan sebahagian daripada infrastruktur nuklear Iran masih terselamat daripada serangan itu.
Grossi enggan mengulas secara langsung mengenai serangan oleh Israel dan AS terhadap program nuklear Iran. "Operasi ketenteraan ada logiknya tersendiri dan saya bukan di sini untuk menilai sama ada ia baik atau buruk. Kita berdepan dengan situasi yang sedia ada," katanya.Tehran menggesa IAEA agar mengecam serangan itu.
Grossi menegaskan usaha meneruskan pemeriksaan nuklear di Iran adalah "keutamaan nombor satu." Namun, beliau mengakui sebarang siasatan terhadap kemudahan yang rosak akan menjadi sukar.
Beberapa pemeriksa IAEA masih berada di Iran walaupun selepas serangan oleh Israel dan AS, tetapi mereka tidak dapat memasuki kemudahan nuklear berkenaan. "Terdapat runtuhan, kemungkinan bahan letupan yang belum meletup, dan juga sedikit risiko radiasi," katanya.
Parlimen Iran pada Rabu memutuskan agar kerjasama dengan IAEA di Vienna digantung buat sementara waktu, menurut laporan penyiar rasmi negara itu, IRIB.
Grossi tidak mengulas secara khusus mengenai keputusan parlimen itu.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami