Skip to main content

Dunia

Iran mulakan upacara penghormatan besar-besaran kepada Ayatollah Ali Khamenei

Mourners pray during a public farewell ceremony to pay their respects to late Supreme Leader Ayatollah Ali Khamenei, who was killed on February 28 in Israeli and U.S. airstrikes, at the Imam Khomeini Grand Mosalla, in Tehran, Iran July 4, 2026. REUTERS/Alkis Konstantinidis Foreign media in Iran operate under guidelines set by the Ministry of Culture and Islamic Guidance, which regulates press activity and permissions
Para hadirin berdoa semasa majlis penghormatan terakhir bagi memberi penghormatan kepada Pemimpin Tertinggi Iran Allahyarham, Ayatollah Ali Khamenei. - Foto REUTERS
Advertisement

TEHRAN: Upacara bagi orang awam memberi penghormatan  kepada bekas Pemimpin Agung Iran, Ayatollah Ali Khamenei, bermula pada Sabtu, beberapa bulan selepas beliau terkorban dalam serangan udara Israel pada hari pertama konflik antara Amerika Syarikat (AS)-Israel dengan Iran, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Upacara berkenaan dijadualkan berlangsung selama tiga hari di ibu negara Iran, Tehran, sebelum jenazah Khamenei dibawa ke kota ziarah Qom serta ke Iraq.

Bekas Pemimpin Agung itu kemudiannya akan dikebumikan di kampung halamannya di Mashhad pada Khamis depan.

Khamenei terkorban pada usia 86 tahun dalam satu serangan udara yang disasarkan ke atas kediaman  rasminya di Tehran pada 28 Februari lepas.

Kematian beliau disusuli dengan pertempuran selama lebih lima minggu melibatkan Iran, Israel dan AS, yang turut mengheret kumpulan tajaan Iran termasuk Hizbullah di Lubnan, sebelum wakil AS dan Iran mencapai persetujuan gencatan senjata pada awal April.

Sebagai Pemimpin Agung, Khamenei merupakan individu dengan kuasa politik dan agama tertinggi di Iran, yang mempunyai kata putus dalam semua perkara strategik.

Pemerhati kini memberikan tumpuan terhadap kemunculan Mojtaba Khamenei, anak lelaki Ali Khamenei, pada upacara berkenaan selepas beliau dilantik sebagai pemimpin agung baharu Iran, seminggu selepas kematian bapanya.

Mojtaba Khamenei mengalami kecederaan dalam serangan yang meragut nyawa bapanya itu dan belum pernah membuat penampilan di khalayak ramai sejak pelantikannya, sekali gus mencetuskan spekulasi mengenai tahap kesihatan beliau.

-- BERNAMA-dpa 

 

 

 

Must Watch Video

Advertisement