Skip to main content
Advertisement

Dunia

Iran sedia ambil langkah ke arah kerjasama serantau, atasi perbezaan - Presiden

Foto dikeluarkan Pejabat Presiden Iran menunjukkan Pezeshkian (tiga, kiri) hadir pada mesyuarat peringkat tertinggi dengan delegasi dari Arab Saudi, Pakistan dan Turkiye. Turut hadir, setiausaha Majlis Keselamatan Kebangsaan Tertinggi Iran Mohsen Rezaei (dua, kiri) dan Araghchi (tiga, kanan), di Tehran, Iran, 26 Okt 2026. (Foto AP)
Foto dikeluarkan Pejabat Presiden Iran menunjukkan Pezeshkian (tiga, kiri) hadir pada mesyuarat peringkat tertinggi dengan delegasi dari Arab Saudi, Pakistan dan Turkiye. Turut hadir, setiausaha Majlis Keselamatan Kebangsaan Tertinggi Iran Mohsen Rezaei (dua, kiri) dan Araghchi (tiga, kanan), di Tehran, Iran, 26 Okt 2026. (Foto AP)

Advertisement

ISTANBUL: Presiden Iran Masoud Pezeshkian menyatakan negaranya bersedia mengambil langkah ke arah memperdalam kerjasama serantau dan mengatasi perbezaan, lapor Anadolu Ajansi memetik agensi berita rasmi IRNA.

Bercakap dalam pertemuan di Tehran bersama pegawai dari Turkiye, Arab Saudi dan Pakistan yang merupakan anggota Pakatan Pertahanan Mekah, Pezeshkian menekankan keperluan mengukuhkan perpaduan serta kerjasama dalam kalangan negara Islam.

"Republik Islam Iran, dengan keyakinan teguh dan keazaman yang tinggi, bersedia mengambil langkah ke arah memperdalam kerjasama serantau, menyelesaikan perbezaan serta memanfaatkan keupayaan bersama negara-negara Islam," katanya.

Beliau menyatakan bahawa Tehran menyokong sebarang persefahaman yang menyumbang kepada pengukuhan perpaduan, keselamatan dan pembangunan serantau.

Pezeshkian berkata negara-negara Islam boleh memanfaatkan keupayaan bersama mereka untuk menawarkan model keadilan dan pembangunan kepada dunia.

Mesyuarat empat hala antara delegasi dari Turkiye, Arab Saudi, Pakistan dan Iran bermula di Tehran pada Isnin, dengan rundingan memberi tumpuan kepada keselamatan serantau, tindakan Israel di rantau itu serta perkembangan di Palestin dan Lubnan.

Kedua-dua Presiden Iran Masoud Pezeshkian dan Menteri Luar Abbas Araghchi menghadiri mesyuarat berkenaan, manakala Turkiye diwakili oleh Pengarah Pertubuhan Perisikan Kebangsaan Ibrahim Kalin, Arab Saudi oleh Menteri Pertahanan Putera Khalid bin Salman, dan Pakistan oleh Panglima Angkatan Tentera Asim Munir.

-- BERNAMA-ANADOLU

 

 

Must Watch Video

Advertisement