TEHRAN: Iran menolak dakwaan Amerika Syarikat (AS) bahawa kumpulan Houthi bertindak sebagai proksi Tehran, sambil menegaskan pergerakan itu membuat keputusan sendiri tanpa menerima arahan daripada mana-mana pihak.
Jurucakap Kementerian Luar Iran, Esmail Baghaei, berkata kenyataan yang dibuat Setiausaha Negara AS, Marco Rubio, yang menyifatkan Houthi sebagai "ejen dan proksi Iran" adalah tidak berasas.
Dalam hantaran di platform X, Baghaei menegaskan Houthi merupakan "aktor bebas" yang menentukan hala tuju dan tindakan mereka sendiri.
"Houthi ialah sebuah pihak yang membuat keputusan sendiri. Mereka tidak menerima arahan daripada sesiapa dan tidak bertindak sebagai proksi mana-mana pihak," katanya.
Beliau turut menuduh AS menjadi punca utama ketidakstabilan di Asia Barat melalui campur tangan ketenteraan dan dasar yang disifatkannya sebagai bersifat dominan terhadap negara-negara di rantau itu.
Menurut Baghaei, jika Washington benar-benar mahu melihat keamanan dicapai, AS perlu menghentikan campur tangan yang menurutnya mencetuskan ketegangan berpanjangan di rantau berkenaan.
Hubungan antara AS dan Iran terus tegang susulan konflik yang semakin memuncak di rantau Teluk serta serangan melibatkan Houthi di laluan perkapalan strategik di Laut Merah dan perairan berhampiran.
Washington sejak sekian lama menuduh Tehran memberi sokongan ketenteraan, kewangan dan logistik kepada Houthi, dakwaan yang berulang kali dinafikan oleh Iran.
Kenyataan terbaharu Tehran itu dibuat ketika ketegangan serantau terus meningkat dan usaha diplomatik bagi meredakan konflik antara AS, Iran serta sekutu masing-masing masih berdepan cabaran.