Skip to main content

Dunia

Iran terima cadangan pengantara untuk redakan ketegangan dengan AS

Sumber: Ministry of Foreign Affairs of the Islamic Republic of Iran
Baqaei berkata diplomat Iran “tidak akan meninggalkan tanggungjawab mereka”, sebagaimana angkatan tentera negara itu “tidak akan mengabaikan tanggungjawab mempertahankan tanah air”. - Gambar fail/Kementerian Luar Iran
Advertisement

ISTANBUL: Iran pada Isnin memaklumkan bahawa negara itu menerima beberapa cadangan daripada pihak pengantara bagi meredakan ketegangan dengan Amerika Syarikat (AS) dan sedang menelitinya, sambil menegaskan komitmen Tehran terhadap diplomasi ketika kedua-dua negara terus saling berbalas serangan, lapor Anadolu Ajansi.

Jurucakap Kementerian Luar Iran Esmaeil Baqaei berkata dalam sidang media bahawa pihak pengantara sedang berusaha menghalang ketegangan daripada terus memuncak dan telah mengemukakan beberapa cadangan kepada Tehran.

“Kami telah menerima cadangan itu menerusi pihak pengantara, namun tidak akan membincangkan perinciannya pada peringkat ini,” kata Baqaei seperti dipetik penyiar kerajaan IRIB.

Beliau berkata barisan diplomatik Iran terus melaksanakan tanggungjawab mereka seiring dengan angkatan tentera negara itu.

“Ketika angkatan tentera kami bertindak balas dengan tegas dan penuh ketetapan terhadap punca pencerobohan Amerika, pihak diplomatik pula memahami sepenuhnya tanggungjawab mereka dan tidak akan berkompromi dalam melaksanakannya,” kata beliau. 

Baqaei berkata diplomat Iran “tidak akan meninggalkan tanggungjawab mereka”, sebagaimana angkatan tentera negara itu “tidak akan mengabaikan tanggungjawab mempertahankan tanah air”.

Beliau turut berkata Iran bertekad untuk bekerjasama dengan Oman bagi mengambil langkah yang diperlukan untuk melaksanakan sepenuhnya kedaulatan dan mencegah sebarang ancaman keselamatan di Selat Hormuz. 

Kenyataan itu dibuat ketika Iran dan AS terus saling melancarkan serangan meskipun kedua-dua pihak menandatangani memorandum persefahaman dengan pengantaraan Pakistan pada bulan lepas bagi menamatkan konflik dan mencapai perjanjian damai berkekalan.

-- BERNAMA-ANADOLU

Must Watch Video

Advertisement