Skip to main content

Dunia

Iran terima maklum balas AS, pengunduran tentera Amerika dari Iraq cetus isyarat baharu di Asia Barat

Araqchi telah menyerahkan maklum balas AS itu kepada kerajaan Iran. - Gambar fail/ Reuters
Araqchi telah menyerahkan maklum balas AS itu kepada kerajaan Iran. - Gambar fail/ Reuters

Advertisement

BAGHDAD/DUBAI: Iran mengesahkan pada Rabu bahawa ia telah menerima maklum balas daripada Amerika Syarikat (AS) terhadap cadangan terbaharunya bagi menghidupkan semula gencatan senjata yang telah runtuh dalam konflik di Teluk Arab, beberapa hari selepas Presiden AS, Donald Trump, mendakwa beliau telah menolak cadangan itu.

Perkembangan itu berlaku ketika sekutu Iran meraikan pengunduran sepenuhnya tentera AS dari negara jiran Iraq, yang menyaksikan kira-kira 4,500 anggota tentera Amerika terbunuh sepanjang perang terbesar Washington abad ini.

Konflik yang tercetus selepas tentera AS menggulingkan pemerintahan Saddam Hussein pada 2003 turut mengorbankan lebih 200,000 orang awam Iraq.

Tehran melihat pengunduran tersebut sebagai kemenangan kepada apa yang digelarnya sebagai "paksi penentangan", iaitu gabungan kumpulan bersenjata sekutu Iran di rantau itu, selain satu langkah ke arah matlamat jangka panjangnya untuk menyingkirkan kehadiran tentera AS dari Asia Barat.

Konflik antara AS dan Israel dengan Iran kini memasuki bulan kelapan. 

Minggu lalu, Tehran mengemukakan cadangan yang menyaksikan Washington akan menarik balik sekatan terhadap pelabuhan-pelabuhan Iran, manakala Iran pula akan membuka semula Selat Hormuz dalam tempoh tujuh hari.

Trump pada Ahad berkata, beliau telah menolak cadangan berkenaan.

Bagaimanapun, Menteri Luar Iran, Abbas Araqchi menegaskan, Tehran tidak pernah menerima penolakan rasmi daripada Washington.

Jurucakap kerajaan Iran menerusi hantaran di platform X pada Rabu memaklumkan, Araqchi telah menyerahkan maklum balas AS itu kepada kerajaan Iran.

Menurut Tehran, cadangan berkenaan bertujuan mengembalikan perjanjian sementara yang dimeterai antara Trump dan Presiden Iran, Masoud Pezeshkian, pada Jun lalu, tetapi kemudiannya gagal bertahan hanya beberapa minggu selepas ditandatangani.

Usaha diplomatik diteruskan minggu lalu apabila perantara Qatar mengadakan rundingan ulang-alik antara wakil AS dan Iran di New York, di luar acara Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). 

Ia merupakan rundingan tidak langsung pertama antara kedua-dua pihak sejak gencatan senjata tersebut terbatal.

Seorang pegawai yang diberi taklimat mengenai rundingan itu berkata, Araqchi menerima penjelasan mengenai respons AS ketika singgah di Doha pada Selasa dalam perjalanan pulang dari New York.

Menurut sumber itu, kedua-dua pihak pada asasnya bersetuju mengenai langkah yang perlu diambil bagi meredakan konflik, namun masih berbeza pendapat mengenai susunan pelaksanaannya.

Iran turut mahu sebarang perjanjian masa depan memberikannya kawalan terhadap Selat Hormuz, laluan perkapalan minyak paling penting di dunia yang terletak berhampiran pesisir negaranya.

Walaupun trafik kapal melalui selat itu meningkat dalam beberapa minggu kebelakangan ini, operasi penghantaran masih berdepan risiko serangan yang menyebabkan kos insurans dan perkapalan melonjak. 

Aliran eksport minyak mentah, produk petroleum bertapis dan gas asli masih terganggu secara ketara.

Dalam insiden terbaharu, agensi keselamatan maritim Britain, UKMTO, melaporkan dua buah kapal dilanda objek berpeluru pada Selasa.

Pengunduran AS dilihat kekalahan strategik Washington

Pegawai AS dan Iraq pada Rabu mengumumkan pengunduran anggota tentera Amerika terakhir dari pangkalan-pangkalan di Iraq, sekali gus memenuhi pelan yang dipersetujui pada 2024 ketika pentadbiran Presiden Joe Biden dan dilaksanakan oleh pentadbiran Trump.

Langkah itu diraikan oleh Iran dan sekutunya.

Komander kumpulan Islamic Resistance in Iraq, Abu Mojtaba al-Yasiri, menyifatkannya sebagai "kemenangan bersejarah bagi kumpulan penentangan Islam Iraq dan rakyat Iraq yang bermaruah", selain "kekalahan besar kepada projek Amerika di rantau itu".

Iraq yang memiliki majoriti penduduk Syiah seperti Iran, menjadi medan penting kepada pengaruh politik dan ketenteraan Tehran sejak kejatuhan Saddam Hussein.

Negara itu juga sering menjadi medan persaingan proksi antara AS dan Iran.

Daripada 18 anggota tentera AS yang dilaporkan terbunuh sejak Trump melancarkan "Operation Epic Fury" pada Februari lalu, tujuh daripada mereka maut di Iraq.

Washington menuduh kumpulan pro-Iran di Iraq melancarkan serangan terhadap negara jiran termasuk serangan yang melumpuhkan sebuah saluran paip minyak utama Arab Saudi tiga minggu lalu.

Penganalisis politik berpangkalan di Baghdad, Ahmed Younis berkata, pengunduran tentera Barat berpotensi meningkatkan keyakinan kumpulan sekutu Iran.

"Kumpulan-kumpulan ini mungkin akan memperluaskan peranan mereka dalam mempengaruhi dasar kerajaan serta mengukuhkan kedudukan dalam institusi utama negara," katanya.

Sementara itu, perang dengan Iran terus menjejaskan sokongan politik terhadap Trump di AS.

Tinjauan pendapat menunjukkan konflik tersebut tidak mendapat sambutan rakyat sejak awal, manakala gangguan bekalan tenaga global dan kenaikan harga bahan api turut memberi tekanan kepada Parti Republikan menjelang pilihan raya perundangan yang bakal berlangsung dalam tempoh lima minggu lagi.

Pada Selasa, Kor Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC) turut menggesa rakyat Amerika menolak sekutu politik Trump dalam pilihan raya akan datang.

Dalam surat terbuka setebal 26 halaman kepada pengundi AS, IRGC menyeru rakyat negara itu menyingkirkan ahli politik yang disifatkan bertanggungjawab terhadap keadaan semasa Amerika.

Di sebalik tekanan ekonomi yang semakin memuncak di Iran akibat perang berpanjangan, Tehran masih mempunyai keupayaan untuk menyerang negara-negara jiran dan mengancam laluan kapal dagang di Selat Hormuz, yang sebelum perang mengendalikan hampir satu perlima perdagangan minyak dunia.

Trump pula menegaskan, konflik itu akan berakhir dalam masa terdekat dan yakin Iran akhirnya akan mengalah.

"Saya tidak tahu sama ada mereka akan menyerah kalah sekarang, tetapi akhirnya mereka akan menyerah kalah," katanya kepada wartawan pada Selasa.

"Mereka berada dalam keadaan yang sangat teruk." - Reuters

Must Watch Video

Advertisement