Skip to main content

Dunia

Jambatan Crimea Putin rosak diserang Ukraine, Zelenskyy sifatkan operasi 'belum pernah berlaku'

Gambar dron menunjukkan asap dan letupan dipercayai berlaku di Jambatan Crimea di Selat Kerch, Crimea, pada Selasa dalam imej tangkap layar yang diambil daripada video. - Gambar Perkhidmatan Keselamatan Ukraine (SBU)/Reuters
Gambar dron menunjukkan asap dan letupan dipercayai berlaku di Jambatan Crimea di Selat Kerch, Crimea, pada Selasa dalam imej tangkap layar yang diambil daripada video. - Gambar Perkhidmatan Keselamatan Ukraine (SBU)/Reuters
Advertisement

KYIV: Ukraine mendakwa berjaya merosakkan dengan teruk Jambatan Crimea, laluan strategik yang menghubungkan Rusia dengan wilayah Crimea yang didudukinya, dalam satu operasi ketenteraan yang disifatkan Presiden Volodymyr Zelenskyy sebagai "operasi luar biasa" yang dirancang selama beberapa minggu.

Imej yang dikongsi pegawai Ukraine menunjukkan sebahagian struktur jambatan itu runtuh ke dalam laut, sekali gus memberikan tamparan besar dari sudut logistik dan simbolik terhadap usaha perang Moscow.

Kremlin bagaimanapun menegaskan, jambatan itu akan dibina semula dan menjadi "lebih baik daripada sebelumnya."

Advertisement

Dalam perkembangan berasingan di Kyiv, Datuk Bandar, Vitaliy Klitschko memaklumkan, trafik sebahagiannya disambung semula di Jambatan Pivnichnyi (Utara) dan Pivdennyi (Selatan), dua laluan utama merentasi Sungai Dnipro, selepas ditutup susulan serangan Rusia pada waktu malam.

Ukraine sekian lama menyasarkan Jambatan Crimea yang menjadi laluan utama jalan raya dan kereta api bagi anggota tentera Rusia ke medan perang. 

Advertisement

Namun, usaha untuk melumpuhkan sepenuhnya jambatan itu sebelum ini tidak berjaya.

Selain cuba meningkatkan kos ekonomi peperangan Rusia melalui serangan ke atas penapisan minyak dan depot bahan api, Kyiv dilihat mahu meningkatkan tekanan politik terhadap Presiden Rusia, Vladimir Putin dengan mensasarkan jambatan tersebut.

Serangan itu berlaku pada waktu yang signifikan menjelang pertemuan Putin dengan pemimpin China dan Amerika Syarikat, sekali gus berpotensi menjejaskan perhatian yang mahu diraih Moscow di pentas antarabangsa.

Jambatan Crimea dibina Rusia selepas negara itu menyerang dan mengisytiharkan pengilhakan Semenanjung Crimea dari Ukraine pada 2014, yang tidak diiktiraf oleh majoriti masyarakat antarabangsa.

Infrastruktur bernilai AS$3.6 bilion (RM15.2 bilion) itu sering dianggap sebagai projek peribadi Putin. 

Ia dibina oleh sekutu rapatnya, Arkady Rotenberg sebelum Putin sendiri merasmikannya pada Mei 2018 dengan memandu sebuah lori melintasi jambatan berkenaan.

Bagi rakyat Ukraine pula, jambatan itu dilihat sebagai simbol utama pendudukan Rusia ke atas wilayah mereka.

"Kami sedang meraikannya" kata Andrii, seorang jurutera yang tinggal di Kyiv kepada BBC.

Menurutnya, serangan itu akan memberi kesan besar terhadap moral rakyat Rusia.

Walaupun ada penduduk Ukraine yang bimbang Moscow akan bertindak balas dengan meningkatkan serangan terhadap infrastruktur awam, Andrii percaya keadaan ketika ini sudah berada pada tahap yang amat buruk.

"Saya tidak fikir Rusia boleh membuat keadaan lebih teruk. Mereka sudah menyerang kami setiap malam dengan segala yang mereka ada," katanya.

Operasi tujuh peringkat

Kerosakan akibat serangan yang melibatkan peluru berpandu kruis dan dron itu dilihat jauh lebih serius berbanding serangan-serangan terdahulu ke atas jambatan berkenaan, dengan satu bahagian gerbang besar dipercayai musnah.

Rakaman video yang tular menunjukkan kerosakan kritikal pada laluan jalan raya, dengan sisa struktur gerbang dan dek jalan kelihatan menjunam ke dalam air.

Zelenskyy berkata, serangan itu adalah hasil operasi tujuh peringkat yang dilaksanakan tentera dan agensi keselamatan Ukraine.

Beliau mendakwa, pasukan Ukraine secara beransur-ansur memusnahkan sistem pertahanan udara, radar, sistem peperangan elektronik dan beberapa sasaran lain sebelum mencapai objektif utama.

Menurutnya, beberapa jenis dron buatan Ukraine selain peluru berpandu kruis Flamingo dan Neptune digunakan dalam fasa penting operasi itu.

Zelenskyy turut mendakwa, laluan kereta api yang selari dengan laluan jalan raya jambatan berkenaan turut terkena serangan dron. 

Bagaimanapun, imej yang dikeluarkan menunjukkan struktur sokongannya masih berdiri dan Kementerian Pengangkutan Rusia kemudian memaklumkan sebahagian perkhidmatan rel telah disambung semula.

Perkhidmatan Keselamatan Ukraine (SBU) pula mendakwa mereka berjaya menekan sistem pertahanan udara Rusia secara sistematik sepanjang sebulan lalu bagi membuka laluan kepada operasi tersebut.

Tentera Ukraine memaklumkan, laluan jalan raya kini tidak boleh digunakan sama sekali, manakala laluan kereta api masih berdiri tetapi mengalami kerosakan pada struktur gerbang.

Rusia buka siasatan keganasan

Kremlin mengesahkan Putin telah dimaklumkan mengenai serangan itu.

Jurucakap Kremlin, Dmitry Peskov berkata, jambatan berkenaan akan dipulihkan dan tidak menolak kemungkinan serangan itu mempunyai kaitan dengan lawatan Putin ke China.

Jawatankuasa Penyiasatan Rusia mengesahkan berlaku kerosakan struktur dan membuka siasatan jenayah atas dakwaan keganasan susulan serangan yang dikaitkan dengan pasukan bersenjata Ukraine.

Untuk hari kedua berturut-turut, Rusia turut melaporkan serangan dron terbesar Ukraine sejak perang bermula pada 2022, dengan Kementerian Pertahanan negara itu mendakwa 2,256 dron berjaya dipintas dan ditembak jatuh.

Sebelum ini, Zelenskyy memberi amaran kemungkinan berlaku serangan besar menjelang pertemuan antara Putin, Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump dan Presiden China, Xi Jinping di Shenzhen pada Khamis.

Di Kyiv, beberapa letupan kuat dilaporkan kedengaran sebelum tengah malam Isnin. 

Klitschko berkata, serangan Rusia menyebabkan kerosakan kepada infrastruktur kritikal serta gangguan bekalan pemanasan dan air.

Pada Selasa, Zelenskyy mendakwa, empat peluru berpandu balistik menyasarkan Jambatan Selatan, manakala tiga lagi menyerang Jambatan Utara di ibu negara itu.

Beberapa perkhidmatan metro di atas permukaan turut mengalami kerosakan selepas orang ramai diarahkan berlindung di pusat pertahanan awam.

Lapan jambatan utama merentasi Sungai Dnipro menghubungkan bahagian barat dan timur Kyiv, dengan kira-kira tiga juta penduduk bergantung pada laluan itu untuk urusan harian.

Di wilayah Cherkasy pula, tiga individu dilaporkan cedera akibat serangan peluru berpandu Rusia, menurut pihak berkuasa tempatan.

Kesan terhadap logistik Rusia

Kesan jangka panjang serangan terhadap Jambatan Crimea masih belum dapat dipastikan sepenuhnya. 

Namun, risiko gangguan serius terhadap operasi pengangkutan dan logistik ketenteraan Rusia dilihat meningkat dengan ketara.

Kejatuhan sebahagian struktur gerbang telah memutuskan hubungan jalan raya dan kereta api secara langsung antara Rusia dan Crimea, sekurang-kurangnya sehingga kerja pembaikan selesai.

Walaupun Rusia masih mempunyai laluan darat melalui kawasan yang didudukinya di wilayah Zaporizhzhia dan Kherson, Ukraine sejak beberapa bulan kebelakangan ini giat menyerang rangkaian pengangkutan di utara Crimea serta kawasan sekitar Chongar.

Keadaan itu telah menjejaskan penghantaran bahan api dan bekalan lain termasuk kargo ketenteraan.

Rusia juga boleh menggunakan perkhidmatan feri merentasi Selat Kerch yang menghubungkan Laut Hitam dan Laut Azov, namun kapasiti laluan itu terhad serta terdedah kepada risiko serangan.

Pilihan bekalan melalui laluan laut juga dianggap berisiko kerana kawasan tersebut sering menjadi sasaran dron laut dan udara Ukraine.

Selain itu, serpihan runtuhan Jambatan Crimea, khususnya struktur gerbang yang besar, dilaporkan berpotensi menghalang laluan perkapalan, sekali gus menyukarkan pergerakan kapal bersaiz besar dan menjejaskan operasi pelabuhan yang dikuasai Rusia di Laut Azov termasuk Mariupol dan Berdyansk.

Rusia melancarkan pencerobohan berskala penuh ke atas Ukraine pada Februari 2022. 

Ketika ini, kira-kira satu perlima wilayah Ukraine berada di bawah kawalan Rusia, manakala Kyiv terus menolak tuntutan Putin supaya menyerahkan baki kawasan Donbas yang masih berada di bawah pentadbirannya. - Agensi

Must Watch Video

Advertisement