ANTALYA: Iran menegaskan pendiriannya menolak sebarang cadangan gencatan senjata sementara, sebaliknya menuntut penamatan perang secara menyeluruh di seluruh wilayah Asia Barat.
Timbalan Menteri Luar Iran, Saeed Khatibzadeh, berkata sebarang bentuk gencatan senjata mestilah merangkumi semua zon konflik, termasuk di Lubnan dan Laut Merah, yang disifatkan Tehran sebagai “garisan merah”.
Advertisement
“Kami tidak akan menerima sebarang gencatan senjata bersifat sementara. Kitaran konflik ini perlu dihentikan di sini, sekali gus dan untuk selama-lamanya,” katanya kepada pemberita di luar acara Forum Diplomasi Antalya, di sini, hari ini.
Mengulas isu Selat Hormuz, Khatibzadeh menjelaskan laluan air strategik itu secara sejarahnya sentiasa dibuka kepada umum walaupun terletak dalam perairan wilayah Iran.
Dalam pada itu, beliau menuduh Amerika Syarikat dan Israel sebagai punca kepada ketidakstabilan di rantau berkenaan, yang menurutnya telah memberi kesan negatif terhadap perdagangan global serta ekonomi dunia.
Kenyataan tegas Tehran itu menyusul ketika usaha diplomatik antarabangsa sedang giat dijalankan bagi meredakan ketegangan yang semakin memuncak di Asia Barat sejak beberapa bulan kebelakangan ini.