NEW YORK: Iran secara rasmi menggesa Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengambil tindakan terhadap Amerika Syarikat (AS) susulan serangan udara yang didakwa menyasar sebuah majlis perkahwinan di wilayah Hormozgan.
Duta Besar dan Timbalan Wakil Tetap Iran ke PBB, Gholamhossein Darzi, menerusi surat rasmi kepada Majlis Keselamatan mengutuk serangan berkenaan dan menyifatkannya sebagai pelanggaran Piagam PBB serta undang-undang kemanusiaan antarabangsa.
Beliau berkata tindakan yang didakwa menyasarkan kawasan awam itu merupakan jenayah perang dan menggesa Majlis Keselamatan memastikan Washington menghentikan segala bentuk tindakan ketenteraan yang menjejaskan kedaulatan Iran.
Dalam insiden itu, sebuah rumah kediaman yang menjadi lokasi majlis perkahwinan di bandar pesisir Kuhestak, daerah Sirik, wilayah Hormozgan dilaporkan terkena serangan udara.
Sekurang-kurangnya empat orang awam terbunuh, termasuk seorang kanak-kanak berusia empat tahun, manakala puluhan lagi cedera.
Kementerian Kesihatan Iran berkata siri serangan udara di beberapa lokasi di selatan negara itu sejak kebelakangan ini mengorbankan sekurang-kurangnya 18 orang dan mencederakan 142 yang lain.
Sementara itu, jurucakap Komando Pusat Amerika Syarikat (CENTCOM) berkata pihaknya mengambil maklum laporan mengenai korban awam, namun menegaskan tentera AS tidak pernah menyasarkan orang awam secara sengaja.
Pada masa sama, media antarabangsa melaporkan Iran melancarkan serangan balas menggunakan peluru berpandu balistik dan dron terhadap beberapa pangkalan serta kemudahan ketenteraan AS di Jordan, Kuwait, Iraq dan Bahrain.