BAGHDAD: Iraq mengalami kekurangan 5,000 megawatt elektrik akibat pengurangan bekalan gas yang disalurkan oleh Iran, lapor Xinhua memetik Agensi Berita Iraq (INA) pada Ahad.

Kekurangan itu menyebabkan pengeluaran gas negara tidak mencukupi dan menjejaskan bekalan elektrik kepada rakyat, kata jurucakap Kementerian Elektrik Iraq Ahmed Musa.

Kementerian sedang menyelaraskan usaha dengan pihak Iran untuk mengepam semula gas dalam kuantiti yang diperlukan, sementara menunggu penyelesaian untuk memindahkan yuran kewangan kepada Iran, katanya.

Iraq mengimport gas dari Iran untuk menampung stesen janakuasanya di seluruh negara, yang kadangkala berlaku pengurangan bekalan gas berikutan hutang terkumpul Iraq.

Bulan lalu, Perdana Menteri Iraq Mohammed Shia' al-Sudani berkata kerajaan sedang melaksanakan rancangan untuk melabur dalam bidang gas dan gas asli bagi mengurangkan pergantungan kepada import.

Pada Mei, Menteri Minyak Iraq Hayan Abdul-Ghani berkata rizab minyak negara itu meningkat sebanyak 10 bilion tong manakala rizab gas aslinya menokok sebanyak lapan trilion kaki padu, selepas tinjauan seismik tiga dimensi berhampiran Basra, hab minyak utama yang terletak kira-kira 550 kilometer di selatan Baghdad.

Angka baharu itu akan meningkatkan rizab minyak mentah Iraq kepada kira-kira 155 bilion tong dan gas asli kepada kira-kira 140 trilion kaki padu.

Bagaimanapun, Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum, yang dianggotai Iraq, masih belum menerima pakai secara rasmi angka baharu itu. - BERNAMA