TEHRAN: Kor Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC) menegaskan bahawa Amerika Syarikat (AS) dan Israel perlu menerima hakikat bahawa rantau Asia Barat harus bebas daripada apa yang disifatkannya sebagai kehadiran "jenayah dan tidak bermoral" kedua-dua negara itu.
Kenyataan tersebut dibuat ketika ketegangan serantau terus memuncak susulan konflik yang melibatkan Iran, Israel dan sekutu masing-masing.
Pada masa sama, Duta AS ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Mike Waltz, berkata Presiden Donald Trump kekal bertegas untuk memastikan Iran tidak memiliki senjata nuklear.
Menurut beliau, Washington masih membuka ruang rundingan dengan Tehran sekiranya Iran bersedia kembali ke meja perundingan dengan niat yang baik.
"Kami masih membuka pintu kepada penyelesaian diplomatik jika Iran bersedia berunding secara ikhlas," katanya.
Sementara itu, Perdana Menteri Iraq, Ali al-Zaidi, berkata Iran tidak membenarkan kapal tangki minyak Iraq melalui Selat Hormuz sejak tercetusnya konflik berkenaan.
Beliau memberitahu media AS bahawa sekatan tersebut telah menyebabkan Iraq kehilangan kira-kira AS$60 bilion hasil pendapatan, selain menjejaskan sekitar 60 peratus pendapatan eksport bulanan negara itu.
Menurut al-Zaidi, keadaan tersebut memberi tekanan besar kepada ekonomi Iraq yang bergantung kepada hasil eksport minyak.
Dalam perkembangan lain, Setiausaha Perbendaharaan AS, Scott Bessent, berkata semua syarikat penerbangan Iran akan digantung operasi di seluruh dunia mulai Rabu sebagai sebahagian langkah tekanan terhadap Tehran.
Bagaimanapun, beberapa jam selepas pengumuman itu, Iran Air memaklumkan penerbangan dari Tehran, Mashhad dan Isfahan ke Najaf, Iraq akan diteruskan seperti biasa.
Perkembangan terbaharu itu menunjukkan pertikaian antara Tehran dan Washington terus melebar melangkaui aspek ketenteraan, termasuk melibatkan sektor pengangkutan dan ekonomi, ketika usaha diplomatik untuk meredakan konflik masih belum menunjukkan kemajuan ketara.