BEIRUT: Pesawat pejuang Israel melancarkan serangan udara ke atas ibu negara Lubnan, Beirut, awal pagi Isnin, beberapa jam selepas Hezbollah mengaku melancarkan serangan roket dan dron ke atas sebuah pangkalan tentera berhampiran Haifa di utara Israel.
Serangan Israel tertumpu di selatan Beirut, kawasan yang menjadi kubu kuat Hezbollah, dengan laporan media tempatan menyebut beberapa kampung di selatan Lubnan dan Lembah Bekaa turut menjadi sasaran.
Advertisement
Wartawan Al Jazeera juga melaporkan serangan Israel di bandar Haris, Nabatieh al-Fawqa dan Mefdoun.
Tentera Israel berkata mereka sedang “menyerang Hezbollah dengan agresif di seluruh Lubnan”.
Hezbollah sebelum itu mengumumkan bahawa serangan mereka terhadap Haifa adalah tindakan pembalasan atas pembunuhan Pemimpin Agung Iran, Ayatollah Ali Khamenei, yang maut dalam serangan udara AS–Israel pada Sabtu.
Kumpulan itu turut menuduh Israel meneruskan “pencerobohan selama 15 bulan” dan berkata tindakan balas mereka adalah amaran agar Israel menghentikan serangan dan menarik balik kehadiran tentera dari kawasan Lubnan yang diduduki.
Tentera Israel berkata mereka turut menyasarkan anggota kanan Hezbollah di sekitar Beirut, dan seorang “tokoh penting” kumpulan itu di selatan Lubnan.
Namun tiada butiran lanjut mengenai sasaran atau jumlah korban didedahkan.
IDF menegaskan bahawa Hezbollah “tidak akan dibenarkan mengancam keselamatan penduduk utara Israel” dan menuduh kumpulan itu sendiri yang bertanggungjawab atas peningkatan konflik.