INTERNATIONAL
Israel guna kebuluran sebagai "senjata perang" terhadap rakyat Palestin - Afrika Selatan

Afrika Selatan pada Selasa memberitahu Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) yang Israel menggunakan kebuluran sebagai senjata terhadap rakyat Palestin di wilayah didudukinya, sekali gus melanggar kewajipan antarabangsa. - Gambar fail AP
GENEVA: Afrika Selatan pada Selasa memberitahu Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) yang Israel menggunakan kebuluran sebagai senjata terhadap rakyat Palestin di wilayah didudukinya, sekali gus melanggar kewajipan antarabangsa, lapor Anadolu Ajansi.
"Undang-undang antarabangsa melarang Israel daripada menggunakan kebuluran sebagai kaedah peperangan. Sekalipun di bawah kepungan atau sekatan, Israel tidak boleh menghukum secara kolektif rakyat Palestin yang dilindungi di bawah pendudukan haramnya," kata wakil Afrika Selatan, Jaymion Hendricks pada hari kedua pendengaran awam di The Hague.
Hendricks berkata, Israel "menggunakan sepenuhnya teknik kebuluran, mengawal tahap penderitaan dan kematian akibat sistem makanan, hingga ke tahap genosid. Walaupun terdapat cubaan mengerikan oleh pegawai Israel untuk menggambarkan sebaliknya, rakyat Palestin adalah manusia."
Beliau menegaskan, Israel "perlu bekerjasama dengan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) secara ikhlas dan memberikan segala bantuan yang diperlukan," dan mesti memenuhi tanggungjawabnya sebagai kuasa pendudukan untuk memastikan bekalan makanan dan perubatan, serta memudahkan bantuan kemanusiaan, perkhidmatan asas dan pembangunan yang disalurkan oleh PBB, negara ketiga dan organisasi antarabangsa lain.Hendricks turut menegaskan yang Israel mesti "menghentikan permusuhan sepenuhnya" dan "segera menarik balik keputusan untuk mengusir Agensi Bantuan dan Kerja PBB bagi Pelarian Palestin (UNRWA) serta agensi PBB lain daripada melaksanakan mandat mereka."
Beliau turut menyeru PBB agar "menuntut dan berunding untuk menghapuskan halangan yang dikenakan oleh Israel" dan "terus menyalurkan bantuan kemanusiaan kepada rakyat Palestin" meskipun terdapat sekatan Israel.
Negara ketiga juga, katanya, "mempunyai kewajipan untuk tidak mengiktiraf tindakan salah Israel di peringkat antarabangsa, termasuk pengharaman terhadap UNRWA...dan perlu bekerjasama untuk menamatkan tindakan itu," sambil menggesa mereka agar menghentikan penyaluran senjata kepada Israel.
Terdahulu, Ketua Pengarah Jabatan Hubungan dan Kerjasama Antarabangsa Afrika Selatan, Zane Dangor memberitahu mahkamah bahawa: "Sistem bantuan kemanusiaan kini berada di ambang kehancuran. Kehancuran ini disengajakan."
Wakil Afrika Selatan, Nokukhanya Jele pula menegaskan yang "Israel tidak boleh mengenakan sebarang tindakan yang dilarang secara khusus oleh undang-undang kemanusiaan antarabangsa, termasuk pemindahan paksa secara besar-besaran, kemusnahan harta benda, penempatan penjajah, menyasarkan sekolah dan kurikulum pendidikan untuk menghapuskan sejarah rakyat Palestin."
Tentera Israel menyerang semula Gaza pada 18 Mac, sekali gus menamatkan perjanjian gencatan senjata dan pertukaran tahanan yang dicapai pada 19 Jan.
Lebih 52,300 rakyat Palestin, majoritinya wanita dan kanak-kanak, terbunuh dalam serangan ganas Israel ke atas Gaza sejak Oktober 2023.
-- BERNAMA

Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami