ANTARA pelbagai berita dalam negara yang disiarkan di Astro AWANI, berikut adalah berita yang paling menjadi tumpuan sepanjang Ahad, 6 September 2026.
Kerajaan negeri tegaskan sokongan kepada Tuanku Muhriz - Ismail Lasim
Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim bersama Kerajaan Negeri menzahirkan sokongan penuh serta taat setia kepada Tuanku Muhriz ibni Almarhum Tuanku Munawir sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.
Kedutaan AS nafi cuba tentukan kepimpinan politik Malaysia
Kedutaan Amerika Syarikat (AS) di Kuala Lumpur menafikan pernah cuba menentukan kepemimpinan politik Malaysia, sambil menyifatkan sebarang dakwaan sebaliknya sebagai palsu.
Jerebu: Semua sekolah di Bintulu, Tatau/Sebauh, Sarawak ditutup hingga 11 Sept, PdPR dilaksanakan
Sebanyak 54 sekolah rendah dan sembilan sekolah menengah di bawah seliaan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Bintulu dan Tatau/Sebauh di Sarawak ditutup hingga 11 Sept susulan jerebu.
Siasatan ke atas pemimpin politik bukan didorong dendam atau iri hati - PM
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan sebarang siasatan yang dijalankan terhadap mana-mana pemimpin politik ketika ini sama sekali tidak didorong unsur dendam mahu pun perasaan iri hati.
Zahid nafi ada masalah dengan Anwar, BN komited pastikan kestabilan negara
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menafikan dakwaan wujud perselisihan atau masalah antara beliau dengan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, sebaliknya menegaskan bahawa Barisan Nasional (BN) kekal komited memastikan kestabilan politik negara sehingga tamat penggal.
RCI TH: Reman bekas menteri disambung dua hari
Tempoh reman seorang bekas menteri yang ditahan bagi membantu siasatan berhubung isu pajakan hotel berkaitan Lembaga Tabung Haji (TH) di Arab Saudi, disambung dua hari.
Peserta KKEC meninggal dunia alami sesak nafas ketika program Mara Lasak
Peserta program Komander Kesatria Endurance Challenge (KKEC) yang meninggal dunia dipercayai mengalami sesak nafas semasa menyertai acara Mara Lasak pada Jumaat lepas, sebelum dikejarkan ke hospital untuk mendapatkan rawatan.
PRN Melaka: Ab Rauf diberi mandat runding kerjasama, pilih rakan boleh beri kemenangan
Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi memberikan mandat kepada Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh untuk merundingkan kerjasama dengan mana-mana pihak bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka akan datang.
Tiada keperluan bubar Parlimen selagi PM Anwar ada sokongan majoriti - DAP
DAP berpendirian tiada keperluan untuk Kerajaan Perpaduan membubarkan Parlimen selagi Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mempunyai sokongan majoriti di Dewan Rakyat.
Istilah 'eksploitasi agama' lebih tepat daripada 'menunggang agama' - Ahmad Fauwaz
Istilah “eksploitasi agama” lebih tepat dan objektif bagi menggambarkan perbuatan menyalahgunakan agama demi kepentingan dunia berbanding istilah “menunggang agama”, kata Mufti Wilayah Persekutuan Ahmad Fauwaz Fadzil.