KUANTAN: Polis menahan seorang wanita bagi membantu siasatan berhubung kejadian seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun lapan bulan yang disyaki dikasari di sebuah Taman Asuhan Kanak-Kanak (taska) di kawasan Bukit Setongkol, di sini.
Ketua Polis Daerah Kuantan ACP Ashari Abu Samah berkata pihaknya menerima laporan berhubung video tular di media sosial, yang memaparkan kejadian itu kira-kira 10.34 pagi tadi.
Beliau berkata siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berlaku pada 11 Ogos lepas dengan rakaman video berkenaan memaparkan mangsa dimarahi, ditarik rambut dan digoncang kepalanya oleh seorang wanita yang merupakan kakitangan taska berkenaan.
“Susulan laporan yang diterima, pihak polis telah menjalankan siasatan lanjut dan menahan seorang wanita berusia 31 tahun bagi membantu siasatan. Permohonan reman terhadap suspek akan dibuat esok,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ashari berkata kanak-kanak terbabit dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan di sini untuk pemeriksaan lanjut dan setakat ini tiada kecederaan fizikal serius dilaporkan terhadap mangsa.
Beliau berkata siasatan lanjut masih dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.
“Orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan dan tidak menyebarkan video atau maklumat yang boleh mendedahkan identiti mangsa, memandangkan kes ini melibatkan kanak-kanak,” katanya.
Individu yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian ini diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan di talian 09-5652222 atau hadir ke balai polis berhampiran.
-- BERNAMA