DUNIA
Israel, Hamas mula rundingan damai di Mesir

Israel dan Hamas memulakan rundingan tidak langsung di Sharm El-Sheikh, Mesir bagi membincangkan pelan damai yang dicadangkan Amerika Syarikat untuk menamatkan perang di Gaza. - Gambar fail Reuters
KAHERAH: Israel dan Hamas memulakan rundingan tidak langsung di Sharm El-Sheikh, Mesir bagi membincangkan pelan damai yang dicadangkan Amerika Syarikat (AS) untuk menamatkan perang di Gaza.
Menurut pegawai Palestin dan Mesir kepada BBC, sesi rundingan tertumpu kepada usaha “mewujudkan keadaan di lapangan” bagi pertukaran tahanan yang menyaksikan semua tebusan Israel dibebaskan sebagai pertukaran kepada sejumlah tahanan Palestin.
Hamas dilaporkan bersetuju secara prinsip terhadap cadangan pelan damai itu, namun belum memberikan maklum balas terhadap beberapa tuntutan utama – termasuk soal perlucutan senjata dan peranan masa depannya di Gaza.
Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu pada Sabtu menyatakan harapan untuk mengumumkan pembebasan tebusan “dalam beberapa hari akan datang.”Rundingan berkenaan yang turut melibatkan pegawai Mesir dan Qatar sebagai orang tengah berlangsung menjelang ulang tahun kedua serangan Hamas terhadap selatan Israel pada 7 Oktober 2023, yang mengorbankan kira-kira 1,200 nyawa dan menyebabkan 251 individu dijadikan tebusan.
Sebagai tindak balas, Israel melancarkan kempen ketenteraan di Gaza yang sehingga kini dilaporkan telah mengorbankan 67,160 orang, menurut Kementerian Kesihatan Gaza yang dikendalikan Hamas.
Rundingan ini dijangka menjadi antara yang paling penting sejak perang bermula dan boleh menentukan sama ada laluan ke arah penamatan konflik akhirnya tercapai.
Antara yang hadir ialah Utusan Khas AS, Steve Witkoff; menantu Trump, Jared Kushner; dan Menteri Luar Qatar, Sheikh Mohammed bin Abdulrahman Al Thani.
Presiden AS, Donald Trump dalam kenyataannya di media sosial menggesa semua pihak agar “bergerak pantas” dan berkata, beliau dimaklumkan bahawa fasa pertama pelan damai – termasuk pembebasan tebusan – “sepatutnya diselesaikan minggu ini.”
Pelan 20 perkara itu yang dipersetujui Trump bersama Netanyahu mencadangkan penghentian segera pertempuran dan pembebasan 48 tebusan – hanya 20 daripadanya dipercayai masih hidup – sebagai pertukaran kepada ratusan tahanan Gaza.
Pelan itu turut menetapkan bahawa sebaik kedua-dua pihak bersetuju, bantuan kemanusiaan penuh akan dihantar segera ke Gaza, di samping menegaskan, Hamas tidak akan lagi mempunyai peranan dalam pentadbiran wilayah berkenaan serta membuka ruang kepada pembentukan negara Palestin pada masa depan.
Namun, selepas pelan itu diumumkan minggu lalu, Netanyahu menegaskan semula pendiriannya menolak pembentukan negara Palestin dengan menyatakan: “Ia tidak termaktub dalam perjanjian. Kami menegaskan kami menentang keras negara Palestin.”
Hamas dalam maklum balasnya pada Jumaat bersetuju “membebaskan semua tahanan Israel, hidup atau mati, mengikut formula pertukaran yang terkandung dalam cadangan Presiden Trump” – dengan syarat keadaan pertukaran dipenuhi.
Bagaimanapun, kenyataan itu tidak menyebut atau menerima sepenuhnya pelan 20 perkara Trump, sebaliknya menyatakan kesediaan menyerahkan pentadbiran Gaza kepada “badan Palestin bebas (teknokrat)” berasaskan konsensus nasional dengan sokongan Arab dan Islam.
Kenyataan Hamas itu juga tidak menyentuh tuntutan utama pelan berkenaan iaitu perlucutan senjata dan penamatan peranannya dalam pentadbiran Gaza.
Ramai pemerhati melihat respons Hamas kali ini sebagai mengejutkan, memandangkan sebelum ini kumpulan itu dijangka akan menolak atau meletakkan syarat ketat terhadap pelan damai tersebut.
Beberapa pemimpin Eropah dan Timur Tengah mengalu-alukan pelan damai itu, manakala Pihak Berkuasa Palestin (PA) menyifatkan usaha Presiden Trump sebagai “ikhlas dan bertekad.”
Iran – sekutu utama Hamas – turut memberi isyarat sokongan terhadap cadangan damai berkenaan.
Sementara itu, serangan udara Israel dilaporkan berterusan di beberapa kawasan di Gaza pada Isnin menjelang permulaan rundingan.
Jurucakap Pertahanan Awam Gaza yang dikendalikan Hamas, Mahmoud Basal memberitahu BBC, tiada trak bantuan dibenarkan memasuki Gaza sejak serangan darat bermula empat minggu lalu.
“Terdapat mayat yang masih tidak dapat kami keluarkan dari kawasan di bawah kawalan Israel,” katanya.
Ratusan ribu penduduk Gaza City dilaporkan melarikan diri selepas tentera Israel mengarahkan pemindahan ke ‘zon kemanusiaan’ di selatan, namun ramai yang masih kekal di kawasan terjejas.
Menteri Pertahanan Israel sebelum ini memberi amaran bahawa mana-mana individu yang kekal di kawasan operasi dianggap “pengganas dan penyokong keganasan.”
Dalam tempoh 24 jam terakhir, Kementerian Kesihatan Gaza melaporkan 21 rakyat Palestin terbunuh dan 96 lagi cedera.
Sejak perang bermula, wartawan antarabangsa dihalang Israel daripada memasuki Gaza secara bebas, menyebabkan sukar untuk mengesahkan dakwaan kedua-dua pihak. - Agensi

Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami