Israel lakukan jenayah perang dan genosid di Semenanjung Gaza - Siasatan PBB

Suruhanjaya berkenaan menggunakan keterangan mangsa dan saksi, imejan satelit serta analisis forensik digital bagi mendokumentasikan pelanggaran secara tepat. - Foto fail/AP
RAMALLAH: Suruhanjaya Siasatan Bebas Antarabangsa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengesahkan bahawa tentera Israel telah melakukan jenayah perang, jenayah terhadap kemanusiaan dan genosid di Semenanjung Gaza sejak 7 Okt 2023, lapor Agensi Berita dan Penerangan Palestin (WAFA).
Ringkasan AI
- Suruhanjaya PBB mengesahkan tentera Israel melakukan jenayah perang, jenayah terhadap kemanusiaan dan genosid di Gaza sejak 7 Okt 2023, berdasarkan lebih 16,000 bukti sahih.
- Penyiasatan selama dua tahun mengenal pasti unit dan komander Israel yang terlibat secara langsung, dengan dokumen diserahkan kepada badan antarabangsa untuk tindakan undang-undang.
- ICC telah mengeluarkan waran tangkap terhadap PM Israel Benjamin Netanyahu dan bekas Menteri Pertahanan Yoav Gallant atas tuduhan jenayah terhadap penduduk Palestin.
Sidoti menegaskan bahawa mandat suruhanjaya bukan sekadar untuk mendokumentasikan jenayah, tetapi juga menentukan pihak yang bertanggungjawab.
Suruhanjaya itu berjaya mengenal pasti unit-unit tentera Israel tertentu yang melakukan pelanggaran serius dan dalam beberapa kes, mengenal pasti pegawai serta komander kerajaan pendudukan dan tentera yang mengeluarkan arahan secara langsung untuk melakukan jenayah berkenaan.
Dokumen-dokumen ini mewakili langkah penting dalam proses undang-undang antarabangsa, menyediakan asas kukuh bagi prosiding dan akauntabiliti terhadap pelanggaran yang berlaku sepanjang dua tahun serangan berterusan di Semenanjung Gaza, sekali gus menyerlahkan tahap penderitaan manusia serta kesan bencana pendudukan terhadap penduduknya.
Sidoti turut memaklumkan bahawa Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) pada 21 Nov 2024 telah mengeluarkan waran tangkap terhadap Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu dan bekas Menteri Pertahanan Yoav Gallant atas tuduhan jenayah perang serta jenayah terhadap kemanusiaan terhadap penduduk Palestin di Gaza.
Beliau berkata laporan suruhanjaya itu dikemukakan kepada Majlis Hak Asasi Manusia dan Perhimpunan Agung PBB serta diterbitkan untuk umum, sambil menafikan kewujudan sebarang laporan sulit yang tidak boleh diakses oleh orang ramai.
-- BERNAMA

Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami

