Skip to main content

Dunia

Israel lancar serangan artileri di Quneitra, pelanggaran terbaharu kedaulatan Syria

Soldiers formerly with the Kurdish-led Syrian Democratic Forces stand guard in Hasakah, northeastern Syria, Wednesday, Aug. 26, 2026. The force announced its dissolution Tuesday after completing its merger with the Syrian army. (AP Photo/Baderkhan Ahmad) ADDITION: Adds that the SDF announced its dissolution Tuesday after completing its merger with the Syrian army.
Kawasan di selatan Syria, khususnya wilayah Quneitra dan Daraa, menyaksikan pencerobohan dan serangan Israel hampir setiap hari. - Foto AP
Advertisement

ISTANBUL: Tentera Israel melancarkan serangan artileri di kawasan luar bandar wilayah Quneitra, selatan Syria pada Ahad, lapor Anadolu Ajansi (AA) memetik Alikhbariah TV.

Stesen penyiaran itu melaporkan tentera Israel melepaskan satu bedilan artileri di sekitar kampung Al-Samdaniya Al-Sharqiya di kawasan luar bandar tengah Quneitra.

Tiada kemalangan jiwa atau kerosakan dilaporkan setakat ini.

Tentera Israel turut melepaskan satu lagi bedilan artileri ke arah kawasan pertanian di barat kampung Al-Mashaala di kawasan luar bandar utara Quneitra, menyebabkan beberapa ekor biri-biri yang sedang meragut di kawasan itu mati, lapor agensi berita SANA.

Serangan itu berlaku sehari selepas tentera Israel melepaskan enam bedilan artileri di pinggir bandar Al-Rafid di selatan Quneitra, menurut stesen penyiaran itu.

Satu pasukan tentera Israel yang terdiri daripada lima kenderaan tentera turut mara ke pinggir bandar itu sebelum berundur tanpa melakukan sebarang penahanan.

Pada Khamis, tentera Israel melepaskan dua bedilan artileri ke arah kawasan sekitar timur Tal al-Ahmar di selatan Quneitra, manakala pada Selasa, mereka menahan seorang penggembala di barat Al-Rafid sebelum membebaskannya beberapa jam kemudian.

Kawasan di selatan Syria, khususnya wilayah Quneitra dan Daraa, menyaksikan pencerobohan dan serangan Israel hampir setiap hari termasuk serbuan, penggeledahan, penahanan serta pembukaan pusat pemeriksaan tentera.

Israel menduduki sebahagian besar Bukit Golan Syria sejak 1967.

Susulan kejatuhan rejim Bashar Assad pada 8 Dis 2024, Israel mengisytiharkan Perjanjian Pengunduran Tentera 1974 tidak lagi berkuat kuasa dan menduduki zon penampan bebas tentera serta beberapa kedudukan lain termasuk bahagian Gunung Hermon (Jabal al-Sheikh) di Syria.

Pada 26 Julai, Presiden Syria Ahmad al-Sharaa berkata Damsyik sedang bekerjasama dengan beberapa negara bagi mencapai perjanjian keselamatan dengan Israel, sambil menyatakan kejayaan usaha itu boleh membuka jalan kepada keamanan menyeluruh tanpa Syria melepaskan tuntutannya terhadap Bukit Golan yang diduduki.

-- BERNAMA-ANADOLU

 

 

Must Watch Video

Advertisement