DUNIA
Israel serang ibu pejabat keselamatan dalam negeri Iran

Serangan itu menyasarkan pusat kawalan utama pasukan keselamatan domestik Iran, termasuk pasukan Basij. - Foto AP
TEHRAN: Tentera Israel mendakwa telah memusnahkan ibu pejabat keselamatan dalam negeri Iran di Tehran dalam serangan udara berskala besar, menandakan peluasan operasi ketenteraan ke atas sasaran bukan ketenteraan tradisional di tengah-tengah konflik yang semakin memuncak antara kedua-dua negara.
Menteri Pertahanan Israel, Israel Katz, mengesahkan bahawa serangan itu menyasarkan pusat kawalan utama pasukan keselamatan domestik Iran, termasuk pasukan Basij - sayap separa tentera yang terkenal dengan tindakan keras terhadap penentang politik.
“Seperti yang dijanjikan, kami akan terus menyasarkan simbol kekuasaan rejim dan menggoncang asas pemerintahan Ayatollah,” katanya dalam kenyataan di media sosial.
Iran belum mengesahkan secara rasmi tahap kerosakan, namun media tempatan melaporkan beberapa kecederaan dan kebakaran besar di sekitar kompleks keselamatan tersebut.Serangan ini berlaku hanya sehari selepas Iran menembak jatuh dron bersenjata Israel di Isfahan dan melancarkan peluru berpandu balas ke arah Tel Aviv.
Pemimpin Tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei, memberi amaran bahawa sebarang campur tangan ketenteraan AS akan membawa “akibat yang tidak dapat dipulihkan”, sambil menolak tuntutan Presiden Donald Trump untuk penyerahan tanpa syarat. Trump pula terus berteka-teki mengenai penglibatan ketenteraan AS, dengan menyatakan, “Saya mungkin lakukannya, mungkin tidak. Tiada siapa tahu apa yang saya akan lakukan”.
Setakat ini, lebih 240 orang dilaporkan terbunuh di Iran akibat serangan Israel, termasuk wanita dan kanak-kanak, manakala sekurang-kurangnya 24 maut di Israel akibat serangan balas Iran.

Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami