Israel terus sekat bantuan kemanusiaan ke Gaza, krisis makanan semakin parah

Lori-lori yang membawa bantuan kemanusiaan menunggu di sebelah sempadan Israel di lintasan Kerem Shalom menuju ke selatan Gaza. - Foto REUTERS
GAZA: Israel terus menyekat kemasukan bantuan kemanusiaan ke Semenanjung Gaza meskipun terdapat perjanjian gencatan senjata, menurut agensi bantuan antarabangsa dan pegawai tempatan.
Agensi Bantuan dan Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian Palestin (UNRWA) mendedahkan bahawa hampir 6,000 trak bantuan yang membawa makanan, ubat-ubatan dan keperluan asas masih ditahan di sempadan.
Jumlah itu cukup untuk menyokong penduduk Gaza selama tiga bulan.
Di bawah perjanjian gencatan senjata yang dimeterai pada Oktober lalu, Israel sepatutnya membenarkan 600 trak bantuan memasuki Gaza setiap hari.
Namun, menurut pegawai media kerajaan Gaza, hanya sekitar 200 trak dibenarkan masuk, kurang satu pertiga daripada jumlah yang dijanjikan.
UNICEF turut memberi amaran bahawa sekatan berterusan ini telah menyebabkan lebih 9,000 kanak-kanak bawah lima tahun mengalami kekurangan zat makanan akut, dengan risiko kematian meningkat menjelang musim sejuk.
Israel mempertahankan tindakannya dengan mendakwa Hamas gagal memenuhi syarat perjanjian, termasuk menyerahkan semua mayat tebusan yang terbunuh dalam konflik terdahulu.
Sementara itu, lebih 90 peratus daripada 2.4 juta penduduk Gaza kini bergantung sepenuhnya kepada bantuan luar untuk kelangsungan hidup, menurut pegawai tempatan.

Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami

