PARIS: Negara anggota Kumpulan Tujuh (G7) yang terdiri daripada ekonomi utama dunia menyatakan keterbukaan secara umum untuk melepaskan rizab minyak kecemasan susulan kesan ekonomi daripada perang Iran, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
“Pada prinsipnya, kami menyokong pelaksanaan langkah proaktif bagi menangani situasi ini, termasuk penggunaan rizab strategik,” menurut kenyataan bersama menteri tenaga negara anggota G7 yang diedarkan pada Rabu oleh Perancis selaku pengerusi G7 ketika ini.
Advertisement
Harga minyak meningkat dengan ketara sejak bermulanya konflik itu.
Negara anggota G7 terdiri daripada Jerman, Amerika Syarikat, Jepun, Kanada, United Kingdom, Perancis dan Itali.
Pemimpin negara G7 dijadualkan membincangkan kesan ekonomi perang serta situasi tenaga dalam satu persidangan video pada petang Rabu.
Dalam beberapa hari kebelakangan ini, pelbagai perbincangan diadakan mengenai kemungkinan pelepasan rizab minyak negara. Agensi Tenaga Antarabangsa juga mengadakan mesyuarat khas pada Selasa bagi membincangkan perkara itu.
-- BERNAMA-dpa