DUNIA
Israel tidak benarkan kapal flotila bantuan tembusi sekatan Gaza

Kementerian Luar Israel menyifatkan Gaza sebagai “zon pertempuran aktif” dan menuduh kumpulan Hamas mengatur flotila berkenaan untuk kepentingan politik mereka. - Gambar fail
BAITULMAQDIS: Israel menegaskan tidak akan membenarkan flotilla bantuan menuju Gaza memecahkan sekatan laut yang dikenakan ke atas wilayah itu.
Ringkasan AI
- Israel menegaskan tidak akan membenarkan flotilla bantuan memasuki Gaza, menyifatkan wilayah itu sebagai 'zon pertempuran aktif' dan mendakwa flotilla dianjurkan oleh Hamas untuk tujuan politik.
- Israel menawarkan alternatif agar kapal berlabuh di Pelabuhan Ashkelon, di mana bantuan boleh dipunggah dan dihantar ke Gaza melalui saluran rasmi yang diselaraskan.
- Flotilla Global Sumud disertai aktivis dari 44 negara termasuk 15 rakyat Malaysia, bertujuan menamatkan sekatan ke atas Gaza dan menyalurkan bantuan kemanusiaan secara langsung, walaupun menghadapi ancaman serangan dron sebelum berlepas.
Israel bagaimanapun memaklumkan pihaknya bersedia membenarkan kapal-kapal tersebut berlabuh di Pelabuhan Ashkelon, di mana bantuan boleh dipunggah dan dihantar ke Gaza melalui saluran yang diselaraskan.
“Jika hasrat sebenar peserta flotila adalah menyalurkan bantuan kemanusiaan, Israel menyeru mereka supaya berlabuh di Ashkelon. Bantuan itu akan dipindahkan segera ke Gaza dengan cara yang teratur,” tambah kenyataan itu.
Flotilla yang dinamakan Global Sumud Flotilla berlayar dari Tunisia awal bulan ini selepas beberapa kali tertangguh. Antara tokoh yang menyertai ialah aktivis iklim terkenal dari Sweden, Greta Thunberg, selain pejuang hak Palestin lain.
Misi itu bertujuan menamatkan pengepungan Israel ke atas Gaza dan menyalurkan bantuan secara langsung kepada penduduk di wilayah berkenaan.
Sebelum berlepas, penganjur mendakwa dua kapal mereka disasarkan oleh serangan dron.
Israel sebelum ini berjaya menghalang dua cubaan flotila memasuki Gaza pada Jun dan Julai lalu.
Dalam pelayaran itu seramai 15 rakyat Malaysia turut menyertai misi berkenaan bersama delegasi dari 44 negara, yang berlayar dari Barcelona, Itali dan Tunisia bagi membawa bantuan kemanusiaan ke Gaza.
Penyertaan Malaysia diketuai Datuk Sani Araby dari MAPIM Malaysia, dengan penglibatan beberapa NGO lain termasuk Cinta Gaza Malaysia (CGM) dan Cinta Salam Malaysia, manakala antara individu yang turut serta ialah bekas wartawan dan aktivis media sosial Zainal Rashid Ahmad (ZRA Strim).
Kehadiran mereka dianggap sebagai komitmen Malaysia di peringkat antarabangsa bagi mendesak pembukaan laluan bantuan ke Gaza dan menamatkan serangan Israel. - Agensi/Sinar Harian

Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami