IPOH: Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Perkasa Negeri Perak (PPKMP) mengadakan rundingan dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi membincangkan pengurangan dan penyelarasan kadar bayaran lesen tahunan penjaja di negeri itu.
Presidennya, Alfirza Munira Abdul Muin berkata isu kenaikan bayaran lesen tahunan penjaja sering kali dibangkitkan ahli persatuan disebabkan perbezaan kadar bayaran yang dikenakan PBT.
Beliau berkata kadar lesen berniaga penjaja ketika ini berbeza mengikut PBT iaitu antara RM170 hingga lebih RM400 setahun dan ia agak membebankan bagi sesetengah penjaja kecil yang kurang berkemampuan.
"Kami (PPKMP) telah mengadakan perbincangan dengan PBT di seluruh negeri bagi mencari penyelesaian bersesuaian kerana perbezaan kadar bayaran antara kawasan menjadi antara perkara yang menimbulkan persoalan dalam kalangan ahli persatuan," katanya ketika ditemui pemberita pada Program Karnival Penjaja dan Usahawan Bersama Komuniti di sini hari ini.
Alfirza Munira berkata antara perkara dibincangkan ialah cadangan menyeragamkan kadar bayaran lesen berniaga penjaja bagi semua PBT di negeri ini.
Menurut Alfirza Munira, maklum balas diterima pihaknya setakat ini penyeragaman kadar bayaran lesen penjaja dijangka dilaksanakan bermula tahun depan oleh PBT.
"Buat masa ini, perkara itu masih memerlukan perbincangan lanjut antara pihak berkaitan dan belum ada keputusan muktamad," katanya.
Beliau berkata PPKMP mempunyai lebih 600 ahli di daerah Kinta, manakala jumlah keahlian persatuan di seluruh Perak melebihi 2,000 orang.
Sementara itu, Alfirza Munira berkata sebanyak 30 peniaga dan penjaja tempatan menyertai karnival berkenaan yang berlangsung selama sehari dengan pelbagai barangan, makanan dan minuman dijual dengan sasaran kehadiran pengunjung kira-kira 3,000 orang.
-- BERNAMA