Skip to main content

Malaysia

Latih Amal Keselamatan RTS Link Malaysia-Singapura diadakan Selasa ini

MKN memaklumkan latih amal ini diadakan bertujuan untuk menguji dan menilai tahap kesiapsiagaan, kecekapan tindak balas serta koordinasi antara agensi keselamatan dan perkhidmatan kecemasan Malaysia-Singapura. - Foto Bernama
MKN memaklumkan latih amal ini diadakan bertujuan untuk menguji dan menilai tahap kesiapsiagaan, kecekapan tindak balas serta koordinasi antara agensi keselamatan dan perkhidmatan kecemasan Malaysia-Singapura. - Foto Bernama

Advertisement

Ringkasan AI

  • Latihan amal berskala penuh Rentas Sempadan Malaysia-Singapura bagi RTS Link 2026 akan diadakan di Johor Bahru pada Selasa ini.
  • Latihan ini bertujuan menguji kesiapsiagaan, kecekapan tindak balas dan koordinasi agensi keselamatan serta perkhidmatan kecemasan Malaysia-Singapura.
  • Orang awam dinasihatkan bertenang kerana semua aktiviti adalah simulasi tanpa sebarang ancaman sebenar sepanjang latihan berlangsung.

PUTRAJAYA: Latihan Amal Berskala Penuh Rentas Sempadan Malaysia-Singapura bagi Sistem Transit Rapid (RTS) Link 2026 akan dilaksanakan di Stesen RTS Link Bukit Chagar dan Depot RTS Link Wadi Hana, Johor Bahru, Selasa ini.

Majlis Keselamatan Negara (MKN), Jabatan Perdana Menteri (JPM) memaklumkan latih amal bermula 9 pagi dan dijangka berakhir pada 5 petang itu dilaksanakan dengan kerjasama strategik Malaysia Rapid Transit System Sdn Bhd dan RTS Operations Pte Ltd. 

Dalam kenyataan hari ini, MKN memaklumkan latih amal ini diadakan bertujuan untuk menguji dan menilai tahap kesiapsiagaan, kecekapan tindak balas serta koordinasi antara agensi keselamatan dan perkhidmatan kecemasan Malaysia-Singapura.

“Ia menjelang pengoperasian penuh RTS Link serta menguji prosedur operasi standard (SOP) mengenai pengurusan insiden rentas sempadan yang telah dibangunkan secara bersama antara Malaysia dan Singapura,” menurut kenyataan itu.

Sehubungan dengan itu, orang awam diminta mengambil maklum dan dinasihatkan supaya kekal bertenang sekiranya melihat pergerakan anggota keselamatan, aset operasi atau aktiviti latih amal sepanjang simulasi berlangsung.

“Tiada ancaman sebenar berlaku. Semua aktiviti yang dijalankan adalah simulasi latih amal semata-mata,” menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement