KUALA TERENGGANU: Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) menyediakan stok penimbal di 15 pusat operasi utama di seluruh negara sebagai persediaan menghadapi Monsun Timur Laut (MTL).
Ketua Pengarah FAMA Faisal Iswardi Ismail berkata langkah itu bagi mengimbangi jika berlaku gangguan bekalan di negeri terlibat banjir, terutamanya Pahang, Kelantan dan Terengganu.
Selain itu, FAMA juga melaksanakan penyelarasan pengedaran hasil pertanian dari negeri mempunyai lebihan bekalan ke kawasan mengalami kekurangan bagi memastikan bekalan dapat diperoleh pada harga berpatutan.
“Di seluruh negara kita ada 15 pusat operasi, termasuk tiga di Pantai Timur untuk menyediakan 34 komoditi stok penimbal pada musim banjir. Langkah ini penting bagi memastikan bekalan makanan tidak putus dan sentiasa tersedia.
“34 komoditi pertanian termasuk produk proses akan diberi perhatian bagi memastikan keperluan pengguna dapat dipenuhi. Kita juga akan meningkatkan pengeluaran melalui kerjasama dengan Jabatan Pertanian dan Lembaga Pertubuhan Peladang,” katanya.
Faisal Iswardi berkata demikian selepas Program Jualan Agro MADANI Mega Terengganu di Dataran Shahbandar, di sini hari ini yang turut dihadiri Pengarah FAMA negeri Muhamad Fadlee Hassan dan Pengarah Halal Research Centre (HRC) Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) Profesor Madya Dr Mohd Sadad Mahmud.
Sementara itu, beliau berkata FAMA telah membuat pembelian sebanyak 153 tan metrik duku bernilai RM240,000 daripada pengusaha di Terengganu bagi membantu mereka memasarkan buah itu ke seluruh negara, sekali gus mengatasi masalah lambakan produk itu pada masa ini.
“Dari segi intervensi kita telah membuat pembelian duku dan kita sasarkan untuk beli hingga RM400,000 bagi mengatasi masalah lambakan dan membantu memasarkan keluaran duku di Terengganu ke seluruh negara,” katanya.
-- BERNAMA