Skip to main content

Dunia

Israel tolak pelan damai Gaza disokong Trump, Palestin tuduh Netanyahu lengahkan rundingan

Sumber: REUTERS
Netanyahu didakwa melengahkan perjanjian Gaza sehingga selepas pilihan raya Israel yang dijadualkan pada Oktober depan. - Foto fail/REUTERS
Advertisement

BAITULMAQDIS: Israel secara rasmi menolak pelan damai Gaza 15 perkara yang diterajui Amerika Syarikat (AS), dengan Perdana Menteri Benjamin Netanyahu menegaskan tentera Israel tidak akan berundur dari Gaza sehingga Hamas dilucutkan senjata sepenuhnya.

Ketika mesyuarat Kabinet Ahad, Netanyahu berkata Israel menolak dokumen yang disokong Presiden AS Donald Trump itu dan akan terus mengambil tindakan terhadap sebarang ancaman keselamatan.

Beliau turut menegaskan bahawa Israel hanya akan menerima pelucutan senjata secara menyeluruh, termasuk senjata ringan yang dimiliki Hamas.

Pelan berkenaan, yang diumumkan Trump pada 30 Julai lalu, menggariskan proses pelucutan senjata Hamas dan kumpulan bersenjata lain secara berperingkat, termasuk penghapusan senjata berat, depoh senjata, kemudahan pengeluaran senjata dan rangkaian terowong di Gaza.

Sementara itu, Menteri Luar Palestin, Varsen Aghabekian Shahin, menuduh Netanyahu cuba melengahkan perjanjian Gaza sehingga selepas pilihan raya Israel yang dijadualkan pada Oktober depan.

Dalam temu bual dengan radio rasmi Voice of Palestine, beliau mendakwa Netanyahu “tidak mahu mencapai sebarang perjanjian” dan mahu rakyat Palestin terus berada dalam keadaan tidak menentu.

Shahin turut memberi amaran mengenai peningkatan keganasan peneroka haram Israel di Tebing Barat yang menurutnya kini lebih terancang, lebih bersenjata dan semakin merosakkan, sekali gus menjejaskan kehidupan rakyat Palestin serta menggugat prospek penyelesaian dua negara.

Beberapa jam selepas pengumuman Netanyahu, Hamas menegaskan semula komitmennya terhadap pelan damai berkenaan dan menggesa negara pengantara serta penjamin memastikan proses itu tidak digagalkan.

Pemerhati melihat pendirian terbaharu Israel itu berpotensi merumitkan usaha antarabangsa untuk menamatkan konflik, terutama apabila pelan berkenaan turut mencadangkan pentadbiran harian Gaza diserahkan kepada sebuah jawatankuasa teknokrat Palestin yang beroperasi di bawah penyeliaan Board of Peace yang diterajui AS.

Dalam perkembangan berkaitan, keganasan terus berlarutan di Gaza walaupun gencatan senjata diumumkan pada Oktober tahun lalu.

Menurut Kementerian Kesihatan Gaza, sekurang-kurangnya 1,258 orang terbunuh dan 4,139 lagi cedera sejak gencatan senjata berkuat kuasa, manakala jumlah keseluruhan korban sejak Oktober 2023 meningkat kepada lebih 73,000 orang.

Di Tebing Barat yang diduduki pula, tentera dan peneroka Israel dilaporkan terus melancarkan serangan serta operasi di beberapa kawasan termasuk Nablus, Ramallah dan Baitul Laham, selain merosakkan tanah pertanian dan harta milik penduduk Palestin.

 

 

Must Watch Video

Advertisement