DUNIA
Itali kecam rancangan Israel bina penempatan baharu di Tebing Barat

Meloni (foto) mengecam keputusan Israel membina penempatan haram baharu di Tebing Barat kerana bercanggah dengan undang-undang antarabangsa dan mengancam penyelesaian dua negara. -Gambar fail/AP
MOSCOW: Itali mengecam keputusan Israel membenarkan pembinaan penempatan haram baharu di Tebing Barat kerana bertentangan dengan undang-undang antarabangsa, lapor Sputnik/RIA Novosti memetik Perdana Menteri Giorgia Meloni.
Ringkasan AI
- Itali mengecam keputusan Israel membina penempatan haram baharu di Tebing Barat kerana bercanggah dengan undang-undang antarabangsa dan mengancam penyelesaian dua negara.
- Israel melancarkan operasi ketenteraan besar untuk menawan Bandaraya Gaza, dengan rancangan melibatkan sehingga 130,000 askar simpanan dan tempoh operasi dijangka berlanjutan hingga 2026.
- PBB dan UK turut mengutuk tindakan Israel, manakala Perdana Menteri Itali menyeru gencatan senjata dan pembebasan tawanan serta peningkatan bantuan kemanusiaan ke Gaza.
Perdana menteri itu berkata keputusan melancarkan operasi ketenteraan baharu di Semenanjung Gaza merupakan satu lagi peningkatan ketenteraan yang hanya akan memburukkan lagi situasi kemanusiaan yang sedia teruk.
Sebaliknya, usaha kolektif diperlukan untuk mencapai gencatan senjata dan membebaskan tawanan, di samping memperkukuh usaha antarabangsa bagi menyampaikan bantuan kemanusiaan kepada penduduk Gaza, tambah Meloni.
Pada Rabu, penyiar Israel Kan melaporkan bahawa Menteri Pertahanan Israel Israel Katz telah meluluskan operasi untuk menawan Bandaraya Gaza.
Akhbar The Jerusalem Post pula melaporkan pada Rabu malam dengan memetik jurucakap Pasukan Pertahanan Israel (IDF) Effie Defrin bahawa IDF telah melancarkan serangan ke atas Bandaraya Gaza dengan tentera Israel kini menguasai kawasan pinggir bandar berkenaan.
Stesen radio tentera Israel Galei Tzahal pada hari sama turut melaporkan bahawa operasi Israel untuk menawan Bandaraya Gaza akan berlanjutan sehingga 2026 dan sehingga 130,000 askar simpanan akan terbabit pada kemuncak operasi itu.
Jurucakap Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Stephane Dujarric pada Rabu berkata PBB mengecam keputusan Israel memperluas aktiviti penempatan haram di Tebing Barat dan menentang sebarang aktiviti penempatan di wilayah yang diduduki.
Setiausaha Luar United Kingdom David Lammy pula berkata rancangan Israel membina sebuah penempatan besar di Tebing Barat akan membahagikan Palestin kepada dua dan merupakan pelanggaran terang-terangan undang-undang antarabangsa.
-- BERNAMA

Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami