ROM: Kementerian Kesihatan Itali mengeluarkan amaran bahaya gelombang haba di lapan bandar di negara itu termasuk di Rom.

Suhu di ibu kota Itali yang popular dengan tarikannya dilaporkan mencecah 40 darjah Celcius pada Khamis.

Susulan itu, dua pusat pemindahan awam sementara disediakan bagi mengagihkan bekalan air kepada pelancong di kawasan tersebut.

Warga emas terutamanya mereka yang tinggal bersendirian turut diberi perhatian dengan memastikan bekalan makanan asas dihantar terus kepada mereka.

Ia bagi mengurangkan pergerakan mereka di luar.

Pakar meteorologi menjangkakan suhu panas akan berlarutan susulan kejadian kebakaran hutan di Sicily dan Calabria.

Suhu di wilayah tersebut dilaporkan meningkat sehingga 48.8 darjah Celcius pada Rabu dan dijangka akan berlarutan sehingga minggu hadapan.