DUNIA
Itali permudah peraturan perjalanan udara domestik, Schengen tanpa ID

Kini, sesiapa yang terbang dari Itali ke Jerman atau Sepanyol, sebagai contoh, kini tidak perlu menunjukkan kad pengenalan di pintu masuk kapal. - Gambar hiasan
ROM: Para penumpang kini boleh memasuki lapangan terbang di Itali dengan hanya menggunakan pas masuk untuk menaiki penerbangan domestik dan dalam Zon Schengen Eropah yang bebas visa, lapor agensi berita Jerman (dpa).
Tidak perlu lagi menunjukkan kad pengenalan (ID) di pintu masuk kapal bagi penerbangan ini selepas Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Itali (ENAC) mengubah peraturan.
Prosedur baru ini diperkenalkan ENAC dan diluluskan Kementerian Dalam Negeri, menurut akhbar harian Corriere della Sera pada Khamis.
Langkah ini bertujuan mempercepat proses di lapangan terbang tanpa menjejaskan keselamatan: "Lapangan terbang adalah kawasan selamat dan sudah tiba masanya untuk memperlakukan perjalanan udara sama seperti perjalanan kereta api," kata Ketua ENAC Pierluigi Di Palma kepada Corriere della Sera.Sesiapa yang memasuki kawasan keselamatan lapangan terbang sudah melalui pemeriksaan keselamatan biasa seperti pengesan logam atau pintu keselamatan.
Jadi, sesiapa yang terbang dari Itali ke Jerman atau Sepanyol, sebagai contoh, kini tidak perlu menunjukkan ID di pintu masuk kapal.
Walaupun terdapat kelonggaran, Di Palma menasihatkan penumpang supaya berhati-hati: Pasport atau kad pengenalan tidak sepatutnya ditinggalkan di rumah kerana sesiapa tanpa dokumen semasa pemeriksaan tidak akan dibenarkan menaiki kapal terbang.
Bagi penerbangan di luar zon Schengen seperti ke United Kingdom, pemeriksaan ID akan kekal di pintu masuk pesawat.
Merujuk Kementerian Dalam Negeri Itali, Corriere della Sera melaporkan pemeriksaan ID juga mungkin berlaku pada laluan imigresen, termasuk penerbangan ke Perancis.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami