Jabatan Kesihatan Filipina desak larangan menyeluruh terhadap produk vape

Jabatan Kesihatan (DOH) Filipina menggesa pelaksanaan larangan menyeluruh di seluruh negara terhadap produk vape. - Gambar fail/BERNAMA
MANILA: Jabatan Kesihatan (DOH) Filipina menggesa pelaksanaan larangan menyeluruh di seluruh negara terhadap produk vape, sambil mengkritik iklan yang didakwa mengelirukan kerana menggambarkan vape sebagai alternatif lebih selamat berbanding rokok tradisional, lapor Agensi Berita Filipina (PNA).
Dalam kenyataan akhbar pada Sabtu, DOH memberi amaran bahawa penggunaan vap menimbulkan bahaya serius kepada kesihatan, sambil menegaskan bahawa wap dan peranti vape mengandungi bahan kimia berbahaya yang boleh menyebabkan penyakit kardiovaskular, kanser dan masalah paru-paru.
"Vape sering dipasarkan sebagai bebas nikotin dan kononnya boleh menjadi alternatif kepada rokok, namun asap serta peranti vape sendiri mengandungi pelbagai bahan kimia yang memudaratkan," menurut kenyataan itu.
Agensi berkenaan turut menyuarakan kebimbangan terhadap pelbagai perisa dan pembungkusan berwarna-warni produk vape yang didakwa mudah menarik minat golongan bawah umur.
Memetik Tinjauan Tembakau Belia Global 2019, DOH berkata tujuh daripada 10 remaja Filipina berusia 13 hingga 15 tahun menggunakan produk vape.
Pada tahun lepas sahaja, Filipina merekodkan kematian pertama yang dikaitkan dengan penggunaan vape selama dua tahun.
DOH berkata kerajaan kini meningkatkan penglibatan dengan komuniti antarabangsa di bawah Rangka Kerja Pertubuhan Kesihatan Sedunia mengenai Kawalan Tembakau.
Biro Promosi Kesihatan DOH juga terus melaksanakan usaha meningkatkan kesedaran dalam komuniti, sekolah dan tempat kerja mengenai bahaya vape dan rokok, menurut kenyataan itu.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


