Skip to main content

Politik

Ahli Parlimen pembangkang adakan mesyuarat tanpa Bersatu

HAMZAH ZAINUDDIN, Parti Wawasan . kredit Astro AWANI
Tinjauan mendapati antara yang hadir ialah Hamzah, bersama beberapa Ahli Parlimen yang menyokongnya. - Gambar Astro AWANI

KUALA LUMPUR: Ahli-ahli Parlimen pembangkang hadir ke Pejabat Agung Pas bagi menghadiri mesyuarat pra-persidangan Parlimen yang berlangsung malam ini.

Tinjauan Astro AWANI mendapati antara yang hadir ialah pengasas Parti Wawasan Negara, Datuk Seri Hamzah Zainuddin, bersama beberapa Ahli Parlimen yang menyokongnya.

Antaranya, Khlir Mohd Nor (Ketereh), Datuk Ismail Muttalib (Maran), Datuk Mas Ermieyati Samsudin (Masjid Tanah), Datuk Seri Saifuddin Abdullah (Indera Mahkota) dan Datuk Muslimin Yahaya (Sungai Besar)

Namun, beberapa Ahli Parlimen yang ditemui enggan mengulas lanjut mengenai perkara dibincangkan dalam mesyuarat berkenaan yang akan dipengerusikan oleh Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar.

Ketua Penerangan Pas Pusat, Ahmad Fadhli Shaari mengesahkan mesyuarat yang bermula pada jam 8.30 malam itu hanya dihadiri mereka yang menerima jemputan khas.

Bagaimanapun, beliau tidak mengesahkan sama ada Ahli Parlimen Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) turut menghadiri mesyuarat berkenaan.

“(Mesyuarat) ini melibatkan Ahli-ahli Parlimen pembangkang yang dipilih sahaja,” katanya.

Ditanya sama ada kedudukan Bersatu dalam PN akan terjawab malam ini, Fadhli berkata perkara itu akan diketahui menerusi satu kenyataan media yang dijangka dikeluarkan selepas mesyuarat.

“Saya rasa ia tidak berkait sangat, tetapi kita akan tengok apa yang terkandung dalam kenyataan media kerana akan ada lagi beberapa pertemuan dalaman,” jelasnya.

Dalam pada itu beliau berkata, bahawa mana-mana parti yang berhasrat menggunakan logo PN dalam pilihan raya perlu mendapatkan kelulusan serta tandatangan Pengerusi PN mengikut prosedur yang ditetapkan.

“Itu prosedur biasa dan saya katakan bahawa mana-mana pihak boleh bertanding tambah-tambah kalau mereka ada jentera yang cukup untuk berkempen,” katanya.

Must Watch Video

Advertisement