INTERNATIONAL
Jabatan Kesihatan AS kurangkan daripada 82,000 pekerja kepada hanya 62,000

Robert F. Kennedy, Jr. berkata, lebih separuh daripada pekerja HHS tidak hadir bekerja ketika beliau memulakan tugas dan terdapat banyak pejabat bertindih yang tidak berkomunikasi antara satu sama lain. - Gambar Reuters
WASHINGTON: Jabatan Kesihatan dan Perkhidmatan Manusia (HHS) Amerika Syarikat (AS) pada Khamis mengumumkan akan memberhentikan kira-kira 10,000 pekerja sepenuh masa, manakala 10,000 lagi akan meletak jawatan awal dan tertunda sebagai sebahagian daripada "penstrukturan semula yang dramatik" selaras dengan sasaran kecekapan Presiden Donald Trump, lapor Sputnik/RIA Novosti.
Pada 11 Feb, Presiden AS itu menandatangani perintah eksekutif mengenai "Pelaksanaan Inisiatif Pengoptimuman Tenaga Kerja 'Jabatan Kecekapan Kerajaan' Presiden," yang mengarahkan semua agensi kerajaan untuk melaksanakan "pengurangan tenaga kerja secara besar-besaran" dalam usaha bersepadu untuk meningkatkan kecekapan.
"Pertama, (penstrukturan semula HHS) akan menjimatkan AS$1.8 bilion setahun kepada pembayar cukai melalui pengurangan tenaga kerja kira-kira 10,000 pekerja sepenuh masa sebagai sebahagian daripada transformasi terbaru itu.
"Apabila digabungkan dengan usaha lain HHS, termasuk persaraan awal dan program 'Fork in the Road', penstrukturan semula itu akan mengurangkan jumlah tenaga kerja daripada 82,000 kepada 62,000 pekerja sepenuh masa," menurut kenyataan HHS.Jabatan itu juga akan mengurangkan 28 bahagian kepada 15 serta pejabat serantaunya daripada 10 kepada lima.
Langkah itu turut melibatkan penubuhan sebuah organisasi baharu, Pentadbiran untuk Amerika yang Sihat (AHA), yang akan menyelaraskan fungsi seperti sumber manusia, perolehan dan teknologi maklumat.
Mengumumkan penstrukturan semula itu dalam satu kenyataan video di media sosial, Setiausaha Kesihatan Robert F. Kennedy, Jr. berkata, lebih separuh daripada pekerja HHS tidak hadir bekerja ketika beliau memulakan tugas dan terdapat banyak pejabat bertindih yang tidak berkomunikasi antara satu sama lain.
Beliau berikrar untuk "meningkatkan moral agensi" serta memberikan "hala tuju yang jelas" kepada jabatan itu.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami