KAHERAH: Setiausaha Agung Liga Arab Nabil Fahmy menekankan bahawa kedaulatan negara-negara Arab adalah “garisan merah” (red line) yang tidak boleh dikompromi, katanya di sini pada Isnin, lapor Xinhua.
Bercakap pada sidang media pertamanya sejak memegang jawatan pada 1 Julai, Fahmy berkata keselamatan negara dunia Arab merupakan tanggungjawab bersama yang memerlukan pendirian bersatu.
“Sebarang pencerobohan yang menyasarkan keselamatan mana-mana negara Arab ialah pencerobohan terhadap keselamatan seluruh dunia Arab,” katanya.
Mengenai ketegangan serantau, Fahmy berkata krisis di Sudan, Syria, Yaman, Libya dan Somalia hanya boleh diselesaikan menerusi dialog dan diplomasi.
Beliau menggariskan komitmen Liga Arab untuk menyokong usaha memulihkan keselamatan dan kestabilan di negara-negara berkenaan, menumpukan pada memelihara integriti wilayah mereka, menamatkan permusuhan, meluaskan bantuan kemanusiaan dan memastikan kepulangan selamat dan bermaruah bagi orang yang kehilangan tempat tinggal serta pelarian.
Fahmy menegaskan perjuangan Palestin kekal sebagai keutamaan Liga Arab, berjanji untuk terus mempertahankan hak sah rakyat Palestin, berusaha untuk menamatkan pendudukan dan memastikan pelaku "jenayah terhadap orang awam" dipertanggungjawabkan.
-- BERNAMA-XINHUA