ISLAMABAD: Pasukan penyelamat Pakistan berjaya menemukan dan mengeluarkan jasad pendaki gunung terkenal dunia, Nirmal Purja, yang terkorban dalam kejadian runtuhan salji di Broad Peak baru-baru ini, lapor BBC.
Kelab Alps Pakistan mengesahkan jasad pendaki warganegara Britain kelahiran Nepal itu ditemukan pada ketinggian kira-kira 5,700 meter di Broad Peak, gunung ke-12 tertinggi di dunia yang terletak di banjaran Karakoram.
Menurut kelab itu, tiga lagi mayat turut dikesan berhampiran lokasi sama, namun identiti mereka masih belum dapat disahkan.
The ground rescue team has reached the location of renowned Nepali mountaineer Nirmal Purja Nirmal Purja MBE - NIMSDAI at approximately 5,700 metres on Broad Peak. According to the Alpine Club of Pakistan, rescuers also sighted three additional bodies at the same location, though… pic.twitter.com/2fY8roOuoc
— George Oketch Korigah (@georgeoketch12) August 2, 2026
Pasukan darat kini sedang membawa mayat yang ditemukan ke Kem Jepun bagi proses selanjutnya.
Purja, 43, mengetuai ekspedisi antarabangsa yang terputus hubungan selepas runtuhan salji melanda kawasan antara kem pendakian di Broad Peak pada Khamis lalu.
Syarikat miliknya, Elite Exped, kemudian mengesahkan bahawa beliau dan sembilan lagi anggota ekspedisi terbunuh dalam tragedi berkenaan.
Antara mangsa yang telah dikenal pasti ialah pendaki Amerika Syarikat, Mallory Geis; pendaki Oman, Nadhira Ahmed Abdullah Al Harthy; dan pendaki Nepal, Pur Bahadur Gurung.
Perdana Menteri Nepal, Balendra Shah menyifatkan tragedi yang meragut nyawa enam pendaki Nepal dan empat pendaki asing itu sebagai satu kehilangan besar kepada komuniti pendakian dunia.
Purja yang pernah berkhidmat selama 16 tahun dalam Tentera British, termasuk 10 tahun dalam pasukan khas, mencipta sejarah dunia pada 2019 apabila mendaki kesemua 14 gunung melebihi 8,000 meter dalam tempoh 189 hari.
Pencapaian itu kemudiannya dipaparkan menerusi dokumentari Netflix 14 Peaks: Nothing Is Impossible.
Kematian beliau turut mendapat perhatian antarabangsa, termasuk daripada Putera William yang menyifatkan Purja sebagai antara pendaki gunung terhebat dunia dan seorang tokoh yang memberi inspirasi kepada ramai.