Dalam sejarah politik Mesir, Mohamed Morsi diingati kerana menjadi Presiden pertama yang dipilih rakyat secara langsung menerusi pilihan raya.

Namun ibarat roda nasib dunia politiknya juga tumbang kerana kebangkitan kuasa rakyat.

Mohamed, graduan bidang kejuruteraan Universiti California disingkirkan dalam insiden menyamai kebangkitan rakyat yang membawanya ke puncak kuasa.

Setahun lalu, rakyat berhimpun di Dataran Tahrir untuk menggulingkan Hosni Mubarak.

Hosni jatuh beliau menyambung kepimpinan.

Namun, pemimpin berusia 61 tahun ini bukan dilahirkan untuk berada dalam kancah politik Mesir yang penuh liku dan masalah rumit.

Antaranya, soal perlembagaan dan bidang kuasa mahkamah serta campur tangan tentera.

Isu ekonomi yang lemah juga antara yang gagal ditanganinya.

Kepada penyokongnya, mereka berpandangan Mohamed bukan lemah tetapi tidak diberi peluang yang cukup untuk menyelesaikan masalah diwarisinya daripada Hosni.

Sebagai contoh, dominasi tentera dan pertikaian soal perlembagaan.

Sebelum menjadi Presiden beliau berjanji untuk tidak mempunyai kaitan dengan Ikhwanul Muslimin tetapi gagal mengotakan janjinya.

Kepentingan dan campur tangan parti politik Ikhwanul Muslimin dijadikan sebab untuk mengaitkan ketidakupayaan Mohamed mentabir.

Beliau yang mula menjadi Presiden pada 30 Jun 2012 tidak dilihat sebagai pemimpin Ikhanul Muslimin tetapi parti itu terlalu menguasai politik Mesir dengan pemilihan barisan kabinet.

Pada November tahun lepas Mohamed mencetuskan rasa marah rakyat apabila meminda perlembagaan dengan memperuntukkan kuasa lebih besar kepada Presiden menjadikannya dituduh Mirip Hosni yang memerintah secara kuku besi.

Sejak itu protes rakyat kembali mewarnai landskap politik Mesir.

Dua pungutan suara yang dilaksanakan selepas itu turut gagal meredakan kemarahan rakyat.

Tahun kedua revolusi rakyat merintis era perubahan kepada Mesir dan Nasib Mohamed secara khususnya.

30 Jun, hari di mana Mohamed angkat sumpah.

Rakyat berhimpun. Bersatu mendesak Presiden itu berundur.

Dua hari selepas protes mega dengan keadaan semakin gagal dikawal tentera mula masuk dan campur tangan.

Kata dua diberikan. Masa 48 jam diperuntukkan kepada Mohamed supaya jalan penyelesaian dicari.

Namun, Mohamed enggan tunduk. Kepadanya, hanya rakyat yang ada kuasa untuk singkirkannya.