TOKYO: Agensi imigresen Jepun mencadangkan syarat lebih ketat bagi pemberian status penduduk tetap kepada warga asing, termasuk mewajibkan pemohon mengekalkan pendapatan melebihi purata isi rumah Jepun serta memiliki unjuran faedah pencen pada tahap tertentu.
Kyodo News melaporkan garis panduan yang dicadangkan dan diumumkan pada Selasa itu merupakan sebahagian usaha Perdana Menteri Sanae Takaichi untuk mewujudkan sebuah “masyarakat teratur”, dengan rakyat Jepun dan warga asing hidup bersama, di samping membanteras kegiatan menyalahi undang-undang.
Agensi Perkhidmatan Imigresen akan mendapatkan pandangan orang ramai sebelum melaksanakan peraturan baharu itu mulai April 2027.
Penduduk tetap boleh tinggal di Jepun tanpa tempoh yang dihadkan dan tanpa sekatan terhadap kegiatan mereka, sambil mengekalkan kewarganegaraan asal.
Secara amnya, pemohon perlu menetap di Jepun sekurang-kurangnya 10 tahun untuk layak.
Status itu berbeza daripada proses naturalisasi yang membolehkan seseorang memperoleh kewarganegaraan Jepun.
Di bawah garis panduan semasa, tiga syarat utama untuk memperoleh status penduduk tetap ialah berkelakuan baik, mempunyai aset atau kemahiran mencukupi untuk menyara kehidupan secara berdikari serta pemberian status berkenaan menepati kepentingan terbaik Jepun.
Peraturan yang disemak semula itu akan mewajibkan pemohon mengekalkan pendapatan tahunan isi rumah melebihi purata isi rumah Jepun, dengan penanda aras ditentukan berdasarkan beberapa sumber data kerajaan.
Pemohon juga dikehendaki mempunyai unjuran faedah pencen yang setara dengan jumlah yang dibayar selepas 30 tahun mencarum dalam skim pencen pekerja berdasarkan tahap pendapatan mereka.
Sekiranya unjuran faedah pencen itu tidak mencukupi, pemohon dibenarkan menampung kekurangan berkenaan menggunakan aset kewangan mereka.
Garis panduan yang disemak semula itu turut memperkenalkan syarat penguasaan bahasa Jepun.
Ketika jumlah penduduk warga Jepun terus menyusut, bilangan penduduk asing pula meningkat susulan penerimaan lebih ramai pekerja dari luar negara.
Setakat akhir tahun lepas, kira-kira 947,000 orang memiliki status penduduk tetap, dengan sebahagian besar daripada mereka berasal dari China dan Filipina.
Pada masa ini, status penduduk tetap diberikan kepada pasangan warga Jepun atau pemegang status penduduk tetap sekiranya perkahwinan mereka telah berlangsung sekurang-kurangnya tiga tahun dan pasangan bukan warga Jepun itu menetap di negara berkenaan sekurang-kurangnya setahun.
Cadangan itu akan meningkatkan syarat berkenaan kepada lima tahun tempoh perkahwinan dan tiga tahun tempoh menetap.
-- BERNAMA-KYODO