Skip to main content

Dunia

Jepun kekalkan subsidi bagi hadkan harga bahan api

Takaichi berkata, kerajaan memutuskan untuk mengekalkan subsidi itu “bagi melindungi rakyat dan kehidupan mereka serta mengelakkan gangguan terhadap aktiviti ekonomi”. - Gambar fail/REUTERS
Takaichi berkata, kerajaan memutuskan untuk mengekalkan subsidi itu “bagi melindungi rakyat dan kehidupan mereka serta mengelakkan gangguan terhadap aktiviti ekonomi”. - Gambar fail/REUTERS

Advertisement

Advertisement

TOKYO: Perdana Menteri Jepun Sanae Takaichi pada Selasa berkata beliau mengarahkan menteri berkaitan supaya meneruskan persiapan yang diperlukan untuk mengekalkan subsidi bagi mengehadkan harga bahan api, lapor Kyodo News.

Dengan konflik di Asia Barat menyebabkan harga minyak mentah meningkat, kerajaan sejak pertengahan Mac menyediakan subsidi kepada pemborong minyak bagi mengekalkan harga runcit purata bahan api pada sekitar 170 yen (US$1.06) seliter.

Memetik cabaran dalam meramalkan pergerakan harga minyak mentah susulan konflik yang berterusan di Asia Barat, Takaichi memberitahu pemberita di pejabatnya di Tokyo bahawa kerajaan memutuskan untuk mengekalkan subsidi itu “bagi melindungi rakyat dan kehidupan mereka serta mengelakkan gangguan terhadap aktiviti ekonomi”.

Advertisement

Jepun yang kekurangan sumber semula jadi sangat bergantung kepada import tenaga.

Ahli Parlimen daripada parti pembangkang dan parti pemerintah menggesa supaya subsidi itu dikaji semula, susulan kebimbangan terhadap kedudukan fiskal Jepun ketika kerajaan melaksanakan langkah pengembangan ekonomi, termasuk rancangan mengurangkan cukai penggunaan ke atas produk makanan daripada lapan peratus kepada satu peratus selama dua tahun mulai April.

Advertisement

Kementerian Ekonomi, Perdagangan dan Industri berkata sebelum ini, kira-kira 80 peratus daripada dana berjumlah sekitar 1.16 trilion yen yang diperuntukkan untuk subsidi itu dibelanjakan setakat akhir Julai.

-- BERNAMA-KYODO

Must Watch Video

Advertisement